Ringgit diunjur boleh cecah RM4.50 berbanding dolar

Ringgit diunjur boleh cecah RM4.50 berbanding dolar

PRESTASI ringgit turun naik didorong oleh persekitaran global terutama ekonomi Amerika Syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berikutan ketidaktentuan yang berlarutan dalam pasaran dengan pelabur berbelah bahagi mengenai apa langkah dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) sete­rusnya.

Selain itu, penganalisis berpendapat cuti Hari Raya Aidilfitri yang mendorong kepada kurang aktiviti ekonomi juga menyumbang pada penyusutan tersebut.

Mata wang negara ditutup pada 4.460/4.465 pukul 5 petang Selasa berbanding 4.456/4.461 penutupan Jumaat lalu.

Ringgit juga ditutup lemah berbanding pound sterling pada 5.561/5.568 daripada 5.549/5.557 dan dolar Singapura pada 3.339/3.343 daripada 3.332/3.337 pada Jumaat minggu lepas.

Bagaimanapun, ringgit me­ngukuh berbanding Euro pada 4.894/4.900 daripada 4.897/4.903 dan yen pada 3.243/3.247 daripada 3.285/3.289 Jumaat lalu.

Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, cuti Hari Raya Aidilfitri menyebabkan aktiviti ekonomi berkura­ngan yang sekaligus menjejaskan pasaran mata wang negara.

Katanya, ringgit diunjurkan lemah pada minggu ini dan boleh mencapai sehingga RM4.50 berbanding dolar AS pada hujung minggu.

“Bagaimanapun, ini hanya bersifat semantara dan dijangka tidak akan menjejaskan akti­viti import dan eksport negara. Turun naik mata wang adalah perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan.

“Selain itu, apabila politik negara stabil dan sudah tiada gangguan, ia akan menarik semula pelabur-pelabur.

“Saya jua berharap komitmen pelaburan daripada China sebanyak RM170 bilion yang diraih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat mengukuhkan lagi ekonomi dan seterusnya pasaran saham dan mata wang negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit akan kekal sekitar RM4.45 hingga RM4.47 berbanding AS, tanpa berlaku perubahan yang drastik.

Menurutnya, walaupun ada berlaku sedikit pengukuhan bulan ini, namun sentimen pasaran masih lagi rapuh disebabkan ketidaktentuan ekonomi di AS dan global menyebabkan akan berlaku prestasi bercampur-campur untuk ringgit sepanjang minggu ini

“Bagi pasaran saham Bursa Malaysia, saya mengunjurkan akan berada sekitar 1,415 hingga 1,425 mata pada minggu ini.

“Antara faktor yang mempe­ngaruhi perkara tersebut ialah pengumuman kadar faedah oleh Fed yang mungkin naik sedikit dan tidak begitu ketara seperti sebelum ini.

“Selain itu pasaran juga sedang menunggu laporan kewangan syarikat tersenarai yang akan meningkatkan sentimen positif dalam pasaran saham,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×