PETALING JAYA: Laporan oleh pasukan penyiasatan yang dinyahklasifikasi oleh Tribunal Rayuan Pentadbiran Australia berhubung nahas pesawat Sabah Air Nomad buatan negara itu yang mengorbankan nyawa Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens, tidak boleh dijadikan bukti muktamad di mahkamah.
Hal itu jika terdapat waris atau keluarga mangsa berniat menyaman selepas laporan berkenaan mendedahkan wujud kelemahan dan pertikaian terhadap keupayaan juruterbang, cara prosedur penerbangan dikendali, konflik kepentingan ketika siasatan serta kelemahan Government Air Factories (GAF) selaku pengeluar pesawat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ia memerlukan pembuktian yang bebas melalui saksi dan keterangan selain banyak persoalan perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum waris atau keluarga mangsa mempunyai locus standi menyaman individu, syarikat penerbangan atau kerajaan.
Katanya, jika mahkamah berpuas hati dan menerima setiap hujah yang disokong keterangan dan bukti langsung, baharulah plaintif (waris) boleh menyaman pihak yang terlibat, dengan syarat melepasi undang-undang had masa batasan di bawah peruntukan Akta Had Masa 1953.
“Kes ini sudah berpuluh tahun, di mana mahu dapatkan saksi-saksi pendakwaan? Adakah pemegang saham syarikat Sabah Air masih hidup? Satu-satunya pihak yang boleh diambil tindakan ialah kerajaan kerana kerajaan akan kekal sampai bila-bila. Jadi, kalau mahu ambil tindakan adalah atas kecuaian kerajaan.
“Jadi, kalau mahu ambil tindakan ianya hendaklah di atas mana-mana kausa tindakan ke arah kecuaian kerajaan ataupun agensi kerajaan yang berkaitan.
“Adakah individu-individu yang terlibat juga masih hidup atau telah uzur? Secara syumulnya, kena lihat secara menyeluruh. Bukan semudah itu untuk menyaman dan laporan ini tidak boleh dijadikan bukti sepenuhnya.
“Mesti dapatkan laporan bahawa juruterbang itu seorang yang gagal membawa beberapa kapal jenis sama, dan adakah Sabah Air ini masih wujud atau tidak? Adakah pihak berkuasa masih menyimpan rekodnya?,” soalnya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, dilaporkan di sebalik kesimpulan dibuat oleh pasukan penyiasatan GAF, laporan disediakan oleh pemangku ketua pereka, David R. Hooper dan ketua juruterbang ujian, S. G. Pearce mendedahkan lebih banyak kepincangan sepanjang penyiasatan dijalankan antaranya juruterbang pesawat tersebut.
Kapten Ghandi Nathan, disifatkan sebagai juruterbang yang tidak mencapai standard dari segi kaedah penerbangan, mengendali enjin pesawat serta gagal mengawal situasi kecemasan dengan baik dalam beberapa situasi simulasi yang dijalaninya.
Ketua Juruterbang Sabah Air, Kapten M. Nadan ketika itu menganggap Ghandi tidak berupaya untuk mengendali pesawat berenjin multi dan disarankan untuk memperoleh pengalaman sebanyak 50 jam mengendali pesawat Nomad sebelum dibenarkan membawa penumpang.
Ghandi juga didapati memadamkan laporan penerbangan dari failnya, apabila buku lognya mencatatkan lebih banyak pemeriksaan penerbangan yang dilakukannya berbanding laporan ujian penerbangan. – UTUSAN











