Johor Port bantu komuniti buat persiapan Aidilfitri

Johor Port bantu komuniti buat persiapan Aidilfitri

JOHOR Port turut menyantuni pelajar asnaf daripada Sekolah Kebangsaan Tanjung Langsat melalui aktiviti membeli-belah dan berbuka puasa di Hotel Renaissance, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kuala Masai (JPKK Kuala Masai) dan Pertubuhan Ihsan Johor untuk mengagihkan bantuan kepada 250 keluar berpendapatan rendah di sekitar Pasir Gudang.

Program di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat Johor Port Prihatin itu berlangsung pada 12 dan 13 April lalu.

Pada program itu, Johor Port mengagihkan 50 kotak makanan dan bantuan kewangan kepada 50 keluarga kurang berkemampuan di Taman Megah Ria, Taman Rinting dan Kuala Masai dengan kerjasama JPKK Kuala Masai.

Melalui kerjasama Pertubuhan Ihsan Johor pula, syarikat mengagihkan bantuan sama kepada 200 murid sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri, SK Kota Masai 2, SK Masai dan SK Taman Scientex.

Johor Port turut menyumbang hamper bernilai RM100,000 untuk membantu keluarga-keluarga terbabit membuat persiapan menyambut Hari Raya yang le­bih bermakna tahun ini.

Dalam Program CSR berasi­ngan, Jalinan Immarah Ramadan pada 14 April pula, Johor Port menyantuni murid asnaf SK Tanjung Langsat melalui aktiviti membeli-belah dan berbuka puasa di Hotel Renaissance, Johor Bahru.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berharap, sumbangan CSR itu dapat memberi keceriaan kepada keluarga dan anak-anak yang kurang bernasib baik.

“Sumbangan yang diberikan ini dapat membantu menambah baik kualiti kehidupan dan me­ngukuhkan lagi hubungan baik dengan masyarakat,” katanya.

Johor Port merupakan Pelabuhan Pelbagai Guna Bersepadu terletak di selatan Semenanjung Malaysia yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pelabuhan yang komprehensif untuk memenuhi keperluan individu pelanggannya.

Memulakan operasi pada 1977 sebagai Pelabuhan Pelbagai Guna Gerbang Selatan yang terawal di Malaysia, Johor Port kini mengendalikan kawasan seluas 1,000 ekar, di mana 660 ekar daripadanya telah diwartakan sebagai Zon Bebas.

Dilengkapi dengan 24 dermaga berkeluasan sebanyak 4.9 kilometer, perkhidmatan dan kemudahan di Johor Port termasuk Terminal Kontena, Terminal Pukal dan Pecah Pukal, Terminal Cecair dan Kemudahan Ruang Gudang.

Sebagai pelabuhan pertama di Malaysia yang diberi status Zon Bebas, Johor Port adalah Pihak Berkuasa Zon Bebas yang dilantik untuk menguruskan sendiri kawasan Zon Bebas.

Sebagai Hab Komoditi Serantau, Pelabuhan Johor merupakan Terminal Minyak Edibel terbesar di dunia dan merupakan salah satu Hab terbesar untuk kargo LME di rantau ini.

Pelabuhan Johor juga merupakan salah sebuah pusat discaj terbesar untuk beras dan koko di Malaysia serta menjadi salah satu terminal terbesar di Malaysia untuk baja dan simen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×