KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai UMNO-Pas dan bakal disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh menang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tetapi dengan syarat hanya bertanding dua penjuru.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, formula satu lawan satu berdepan Pakatan Harapan (PH) jika dipersetujui membolehkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen dicapai, malah tidak mustahil juga majoriti dua pertiga 148 kerusi.
Beliau juga mengingatkan supaya mengambil iktibar daripada pengalaman tewas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang mengajar semua pihak dalam MN agar ikhlas dan tidak melakukan pengkhianatan dengan sabotaj sesama sendiri.
“Sekiranya gabungan ini bertanding dua penjuru, besar lagi lah kita punya kemenangan. Apa yang penting ialah dua penjuru. Ini mesti kita tegaskan.
“Kalau Pas dapat (peruntukan) kerusi (Parlimen dan DUN) lebih besar daripada UMNO atau UMNO dapat lebih dari Pas, masing-masing jangan khianat.
“Kalau Pas dapat (menang) kerusi lebih besar pun, Pas tidak boleh tinggalkan UMNO dan begitu juga sebaliknya. (Parti) Bersatu pun tak boleh ditinggalkan. Yang penting, kita setia kepada perjanjian, iaitu piagam MN,” kata beliau ketika ditemui di pejabat Ahli Parlimen Marang di Parlimen baru-baru ini.
Abdul Hadi berkata, konflik pengagihan kerusi antara kalangan tiga parti Melayu dalam MN tidak akan timbul jika soal strategi diatur oleh pemimpin, bukannya ahli-ahli biasa parti.
“Kita kena sedar bahawa UMNO mempunyai sokongan akar umbi. Bersatu pula tiada akar umbi tetapi mempunyai pemimpin yang ada pengaruh. Pas? Akar umbi pun ada, pemimpin pun ada.
“Kita gabungkan pemimpin dahulu dengan memperkasakan perpaduan, menentukan hala tuju, buat garis panduan dan road map, lepas itu turun ke bawah. Pokoknya kita tidak boleh dengar desas-desus (isu pengagihan kerusi),” katanya.
Ditanya bolehkah piagam MN yang bakal ditandatangani oleh UMNO, Pas dan Bersatu termasuk beberapa parti lain yang bakal menyusul, dipercayai serta tidak dilanggar, kata Abdul Hadi:
“Kita (MN) bergantung atas piagam, bukan atas faktor siapa akan jadi Perdana Menteri. Soal siapa akan jadi Perdana Menteri, itu soal sampingan.”
MN adalah kerjasama politik UMNO dan Pas yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu.
Pencapaian dalam siri pilihan raya kecil (PRK) yang disertai calon dari gabungan itu begitu memberangsangkan, dengan enam kemenangan berturut-turut di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis dan Chini. Dan dipercayai pencapaian itu berterusan dalam PRK DUN Slim, 29 Ogos ini.
Kemenangan BN dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 contohnya digambarkan bukan sahaja mencerrminkan kekuatan MN semata-mata. Malah disifatkan pemerhati, gabungan itu diterima oleh sebahagian masyarakat semua kaum. Calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang besar dengan majoriti 15,086 undi berbanding kekalahannya berjumlah 524 undi dalam PRU-14.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk Mac lalu setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen turut disokong oleh MN.
PN terdiri daripada Bersatu, BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kumpulan ahli Parlimen yang keluar PKR diketuai bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu mengumumkan UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN sebaliknya akan memperkasakan MN bersama Pas dan komponen BN.
Kata Ahmad Zahid, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dalam pertemuan dengan ahli parlimen BN pada Rabu 29 Julai lalu menyatakan hasrat membawa partinya menyertai MN.










