Naikkan OPR bukan satu-satunya kaedah untuk kawal inflasi

Naikkan OPR bukan satu-satunya kaedah untuk kawal inflasi

ORANG ramai membeli barangan di pasar Chow Kit dengan harga barang naik didorong peningkatan permintaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend inflasi dijangka akan terus meningkat didorong tekanan oleh kenaikan harga komoditi global akibat ketidakstabilan dan ketegangan geopolitik antara Russia dan Ukraine, China dan Taiwan serta terkini, Sudan.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi berpendapat, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) meskipun perlu, bukanlah satu-satunya cara untuk mengawal inflasi yang jika tidak dikawal boleh meningkatkan kos hidup sekali gus membebankan rak­yat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, tindakan segera yang proaktif bagi menstabilkan ekonomi terutamanya harga barangan teras perlu diambil oleh kerajaan.

Beliau berkata, polisi sedia ada perlu dilaksanakan dan bukannya setakat membentangkan cadangan.

“Yang kita perlukan adalah tindakan dan ekonomi domestik perlu dikukuhkan kembali bagi memastikan ekonomi yang stabil dan rakyat perlu juga didahulukan agar tahap pengeluaran terjamin.

“Pengguna juga perlu bersama dalam mendepani isu ekonomi dan sedar akan apa yang bakal dihadapi termasuk ketidaktentuan ekonomi sedia,” katanya.

Beliau menjangkakan kenaikan OPR akan berlaku lagi, kerana ia antara alat monetari yang boleh digunakan untuk mengawal pertumbuhan ekonomi, namun bukanlah satu-satunya cara untuk mengawal inflasi.

“Jika silap percaturan, kenaikan OPR boleh menyebabkan permasalahan inflasi dan harga barang tidak dapat diselesaikan serta memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara.

“Malah harga barang yang terus meningkat, akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi domestik dan secara tidak langsung akibatkan aliran wang di pasaran berkurang,” katanya.

Shazida Jan berkata, keputusan dalam pengubahsuaian kepada subsidi domestik dan dasar kawalan harga dilihat turut memberi impak kepada kadar inflasi.

Katanya, isu keselamatan makanan juga perlu dilihat dengan lebih serius dengan memastikan tiada lambakan atau kekurangan dari segi keluaran domestik mahupun import.

“Ini akan dapat membendung sikap mengambil peluang dan memperlahankan kenaikan harga,” katanya.

Media melaporkan, AmBank Group Economic Research (AmBank) menyemak semula unjuran inflasi pada julat antara 3.0 hingga 3.50 peratus tahun ini, berbanding anggaran sebelumnya sekitar 3.0 peratus.

Menurutnya, semakan semula unjuran inflasi itu dibuat mengambilkira andaian bahawa tarif elektrik, harga diesel dan harga siling ayam dan telur akan ditamatkan secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini.

Susulan itu juga, AmBank menjangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas akan berlaku pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×