269,332 murid tidak mampu kuasai 3M - Utusan Malaysia

269,332 murid tidak mampu kuasai 3M

Bantuan awal persekolan
KPM percaya BAP dapat membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan yang akan datang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 269,332 murid sekolah rendah di seluruh negara dikesan belum mampu menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.

Angka itu berdasarkan jawapan lisan Kementerian Pendidikan di Dewan Negara baru-baru ini yang memaklumkan, 6.03 peratus atau 117,656 daripada 1,948,975 murid sekolah rendah di seluruh negara belum me­nguasai tahap penguasaan (TP) minimum iaitu TP1 dan TP2 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Bagi Matematik pula, seba­nyak 6.08 peratus atau 151,676 murid daripada 2,493,481 murid belum mencapai TP minimum. Secara mudahnya data itu me­nunjukkan daripada 100 murid sekolah rendah, enam daripada mereka dikesan tercicir daripada menguasai 3M.

Data itu berdasarkan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) yang menyaksikan 90.6 peratus sekolah mengisi pelaporan pentaksiran berterusan manakala 91.4 peratus sekolah pula mengisi pelaporan melalui SPPB bagi ujian akhir sehingga 16 Mac lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 menjadi punca lemahnya penguasaan 3M dalam kalangan murid apabila mereka tidak berpeluang menerima pendidikan tahap prasekolah sebelum melangkah masuk ke sekolah rendah.

PUNCA

Menurut beliau, daripada punca tersebut menyebabkan kanak-kanak itu tidak dapat belajar membaca, mengira dan menulis sekali gus mereka berdepan masalah 3M ketika memasuki tahun satu.

“Jika sebelum PKP, masalah 3M kurang berlaku kerana pendidikan prasekolah dapat memberi pendedahan pendidikan kepada kanak-kanak. Memang selama ini, menjadi dasar kerajaan agar mereka dapat belajar membaca, mengira dan menulis dalam tempoh dua tahun prasekolah.

“Maka tiada masalah selama ini, tetapi disebabkan PKP, banyak tadika dan prasekolah ditutup jadi kanak-kanak tidak dapat belajar dengan baik dan penguasaan 3M lemah sehinggalah masuk tahun satu sekolah rendah,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara juga memaklumkan, bagi mengatasi masalah penguasaan 3M, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti melaksanakan Program Bantu Baca, Program Pemulihan Khas, Program Literasi dan Numerasi (Plan).

Misalnya Program Bantu Baca bertujuan memperkukuhkan kemahiran membaca dalam kalangan murid sekolah rendah dan dilaksanakan secara kolaboratif melibatkan pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) yang menjalani latihan praktikum di sekolah, pelajar matrikulasi dan murid sekolah berasrama penuh dengan kerjasama komuniti setempat.

MASALAH

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, ibu bapa dan masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan untuk menangani masalah penguasaan 3M dalam kalangan murid dengan memastikan mereka dapat menguasai secepat sebelum melangkah ke tahun dua.

Kata beliau, semua pihak tidak boleh meletakkan beban penguasaan kemahiran 3M ke atas guru semata-mata tetapi perkara itu memerlukan kerjasama semua pihak.

“Selain kementerian me­laksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan murid dapat menguasai kemahiran asas 3M menerusi Program Bantu Baca, Program Pemulihan Khas, Program Literasi dan Numerasi, ibu bapa juga perlu membantu pembelajaran anak-anak di rumah.

“Saya percaya jika ibu bapa dapat bersama, masalah pe­nguasaan 3M dapat ditangani dengan cepat dan menyeluruh,” jelasnya.

Jelas beliau, penguasaan 3M dapat dipertingkatkan menerusi bantuan gajet seperti komputer dan telefon bimbit kerana kebanyakan alatan tersebut mempunyai elemen membaca, mengira dan menulis.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×