Lantikan kontraktor kedua 5G diragui

Lantikan kontraktor kedua 5G diragui

INTERNET yang pantas dan laju perlu dianggap sebagai keperluan ataupun utiliti seperti elektrik, bukannya suatu kehendak. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, wujud cadangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk menghapuskan konsep Rangkaian Keseluruhan Tunggal (SWN) 5G Digital Nasional Berhad (DNB) dengan mewujudkan pembekal 5G kedua.

Namun, penganalisis dan pemerhati industri digital melihat pelantikan kontraktor dan pembekal kedua 5G ini adalah perkara yang perlu dipertimbangkan dan diragui sama ada perlu dilaksanakan ataupun tidak.

Pemecahan monopoli ini adakala bagus tetapi adakala juga akan membawa lebih banyak keburukan, apatah lagi berlaku sewaktu pembinaan sedang berlangsung.

Memuatkan artikel berkaitan…

DNB ialah agensi milik penuh Kementerian Kewangan yang ditugaskan untuk membangunkan, membina dan menguruskan rangkaian 5G. Atau mudahnya, kerajaan jugalah yang akan kawal selia 5G.

Antara isu yang berbangkit adalah pemonopolian 5G oleh DNB bakal mewujudkan harga yang lebih mahal. Pertama, DNB sudah menjanjikan bahawa harga 5G akan jauh lebih murah daripada 4G dengan pengurangan 20 sen bagi setiap gigabit. Dan kalau betul pemecahan monopoli akan mengurangkan harga, kewujudan syarikat telekomunikasi (telco) yang banyak ini seperti Maxis, Celcom, Umobile dan sebagainya tidak pun berjaya menawarkan harga yang murah kepada rakyat Malaysia. Tetapi ia menjadi murah apabila wujud campur tangan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada 2019.

Ini membuktikan pemecahan monopoli tidak membawa kepada harga lebih murah pun, tetapi yang lebih penting adalah kawal selia oleh kerajaan seperti apa berlaku dalam SWN dan DNB. Malah, prestasi DNB juga amat memberangsangkan.

Pelan asal DNB adalah untuk membawa 5G kepada 80 peratus pada hujung 2024 tetapi telah diawalkan pada hujung 2023 setelah pengumuman Belanjawan 2023, Februari lalu.

Selain itu, apabila kita mewujudkan pembekal kedua, ia akan mencetuskan persaingan yang akan memburukkan keadaan di mana mereka akan memfokuskan kepada kawasan yang padat sahaja dan meminggirkan kawasan kampung seperti apa yang berlaku pada pembinaan 4G.

Dalam ingin mendepani ekonomi digital dan Revolusi Industri (IR) 4.0, internet yang pantas dan laju perlu dianggap sebagai keperluan ataupun utiliti seperti elektrik, bukannya suatu kehendak. Dan keadaan mungkin akan jadi lebih teruk apabila Huawei dan ZTE dari China juga sudah mula membida untuk menjadi pembekal kedua setelah kita menolak bidaannya sewaktu pembinaan 5G yang pertama.

TIANG

Kita juga lebih tahu mengenai syarikat-syarikat gergasi dari China yang sangat terkenal dengan pencurian data, jenayah siber yang akan mewujudkan risiko identiti dan data rakyat Malaysia untuk dicuri. Dengan membenarkan mereka menjadi pengendali, ia seolah-olah membuka pintu kepada mereka untuk melakukan jenayah itu.

Negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand juga telah menolak bidaan Huawei dan ZTE dengan mengambil Ericsson. Negara-negara lain seperti India, Vietnam, Perancis dan Sweden juga telah menolak penglibatan Huawei dalam pembinaan 5G di negara mereka.

Kita juga sebagai negara berkecuali adalah lebih baik tidak terlibat lebih rapat dengan China kerana ia akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dan bloknya. Kita masih dan sangat memerlukan teknologi mereka.

Malah, kita juga tidak boleh bergantung lagi dengan China dengan melihat rekod China dalam isu keselamatan negara seperti Kepulauan Spratly di Laut China Selatan. Sewajarnya kita meminimumkan hubungan dengan China.

DNB dan Ericsson juga sudah terbaik buat kita. Kita sudah melakukan saringan yang ketat dan teliti dalam memilih pengendali 5G dengan menetapkan syarat sangat ketat seperti mestilah mempunyai vendor penyelenggara lokal dan memahami isu dan demografi di Malaysia.

Perubahan konsep SWN dan Rangkaian Keseluruhan Berganda (DWN) di pertengahan pembinaan ini akan lebih melambatkan pembinaan 5G di Malaysia. Menurut DNB, jika berlaku perubahan, pelan strategik dan pengurusan perlu penetapan semula, rundingan dan perjanjian pembekal perlu dibuat semula oleh pekerja mengenai penyertaan dalam usaha niaga dan pengaturan pembiayaan.

DNB juga mengatakan kita akan kekurangan tenaga mahir bagi membangunkan kedua-kedua SWN dan DAN serentak kerana akan melambatkan pelancaran disebabkan lebih banyak pangkalan untuk tiang perlu dibina bagi menyokong kedua-kedua rangkaian.

Kerajaan dan rakyat perlu ingat, pembinaan 5G jauh berbeza dengan pembinaan 4G. Pembinaan 5G adalah satu manifestasi dan janji kerajaan kepada rakyat untuk mewujudkan masyarakat digital. Oleh sebab itu, ia tidak boleh dipolitikkan dan dilambatkan. Ini kerana 5G adalah satu perlumbaan di dunia digital. Kalau kita terlambat mula, kita akan sentiasa terkebelakang dan ketinggalan dalam dunia yang sentiasa bergerak laju. – UTUSAN

Datuk Ahmad Noordin Ismail ialah Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×