PETALING JAYA: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengesahkan data melibatkan kira-kira 20 pelanggannya telah diterbitkan di web gelap oleh penjenayah siber.
Siasatan AKPK dengan pakar keselamatan siber pihak ketiga mendapati, data berkenaan melibatkan nama dan nombor kad pengenalan pelanggan terbabit.
“AKPK mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan penjenayah siber yang keji serta berniat jahat ini kerana menyasarkan orang awam yang terjejas kewangan mereka serta bergantung kepada AKPK untuk membantu mereka.
“AKPK sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani kemungkinan lebih banyak data pelanggan AKPK diterbitkan. Rentetan ini, kami menasihati semua pelanggan kami supaya sentiasa berwaspada,” katanya dalam kenyataan.
Menurut agensi itu, segala maklumat dalam pemilikan penjenayah siber adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang dan sebarang perolehan, penggunaan dan penyebaran maklumat yang sama merupakan satu kesalahan jenayah.
AKPK katanya, bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital serta CyberSecurity Malaysia dalam menjalankan siasatan menyeluruh.
“Kami juga sedang berusaha untuk mengenal pasti maklumat khusus yang telah diakses secara haram serta memaklumkan kepada pelanggan yang terjejas.
“Kami menyedari situasi ini amat membimbangkan dan dengan ini, kami dengan ikhlas memohon maaf. Pihak kami akan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk mengurangkan kesan pencerobohan ini.
“Kami juga menghubungi pelanggan kami untuk memberitahu mereka tentang pelanggaran keselamatan ini dan membantu mereka mengambil langkah-langkah yang perlu untuk perlindungan masing-masing. Kakitangan kami juga akan memberi nasihat kepada pelanggan dalam menangani perkara-perkara yang berkaitan dengan pelanggaran tersebut,” jelasnya.
Tambah AKPK, pihaknya telah menyahaktifkan beberapa sistem operasi buat sementara waktu dalam mengelakkan risiko selanjutnya.
Malah katanya, AKPK juga sedang mengembalikan sistem secara berperingkat dan akan memberi kenyataan rasmi yang terkini.
“Kami juga melaksanakan pengaturan operasi yang perlu bagi meneruskan perkhidmatan kami kepada pelanggan,” tambahnya.
Jelas AKPK lagi, sejak 2006, pihaknya komited dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia secara percuma dalam memperkasa daya tahan kewangan mereka. – UTUSAN










