PETALING JAYA: Sebanyak 19,664 petugas Kementerian Kesihatan termasuk pegawai perubatan meletak jawatan dalam tempoh 10 tahun lalu.
Berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat baru-baru ini, pegawai perubatan paling ramai berhenti iaitu sebanyak 6,282 orang diikuti pegawai perubatan siswazah (3,826 orang), pegawai pergigian (3,256 orang), pegawai farmasi (2,692 orang), jururawat (1,643 orang), pakar perubatan (1,631 orang) dan penolong pegawai perubatan (334 orang).
Antara alasan meletak jawatan ialah mahu berkhidmat dalam sektor swasta dan badan berkanun, sebab peribadi, melanjutkan pelajaran, masalah kesihatan, berhijrah ke luar negara dan membuka klinik sendiri.
Malah menerusi jawapan bertulis berasingan, sebanyak 1,732 pegawai perubatan siswazah atau doktor pelatih meletakkan jawatan sebelum menamatkan latihan siswazah pada 2020-2022.
Mengulas perkara itu kepada Utusan Malaysia, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata, kerajaan perlu serius menangani masalah kakitangan kesihatan meletak jawatan.
Menurut beliau, kerajaan perlu melihat semula isu tersebut seperti menilai balik aspek kewangan untuk meningkatkan bayaran emolumen gaji dan elaun agar kebajikan mereka terus terjaga.
BEBANAN
Katanya, soal bebanan kerja dan pembayaran gaji tidak setimpal mendorong ramai petugas kesihatan khususnya doktor berhenti kerja dan mencari peluang lebih baik sama ada di swasta atau luar negara.
Kata beliau, meskipun kerajaan komited untuk menyelesaikan masalah doktor kontrak dalam tempoh tiga tahun, tempoh itu dilihat terlalu lama.
“Mungkin lebih ramai petugas kesihatan meletak jawatan sepanjang tempoh itu memandangkan terdapat 20,000 doktor kontrak yang masih menanti giliran untuk diserapkan sebagai kakitangan tetap.
“Namun terserah kepada kerajaan untuk mengatasi masalah ini. Jangan ambil masa terlalu panjang, apatah lagi jumlah pesakit semakin bertambah manakala kuantiti petugas kesihatan pula semakin mengecil,” katanya semalam.
Pada bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, masalah doktor kontrak di bawah Kementerian Kesihatan akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa tahun ini.
Ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, Perdana Menteri berkata, masalah berkenaan sudah berlarutan sekian lama, justeru kerajaan sedia ada tidak boleh dibebankan untuk menyelesaikannya dalam tempoh setahun.
Dalam pada itu, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak tidak menolak kemungkinan 4,238 calon simpanan yang tidak berjaya dalam temu duga pelantikan tetap baru-baru ini, berpotensi meninggalkan perkhidmatan awam sekali gus menjejaskan kelancaran operasi klinik dan hospital kerajaan akibat kekurangan kakitangan kesihatan.
Katanya, kebanyakan mereka kecewa kerana perlu menunggu untuk diserapkan sebagai doktor tetap.
Justeru, beliau melihat keperluan kewangan dan jumlah tenaga kerja perlu menjadi asas utama dalam merangka Suruhanjaya Kesihatan yang bakal dibentangkan dalam masa terdekat ekoran sistem kesihatan awam kini terjejas kerana banyak hospital awal berdepan masalah kekurangan petugas.
RAKYAT
Katanya, kerajaan perlu mengutamakan nyawa rakyat terlebih dahulu meskipun terpaksa memperuntukkan lebih banyak wang untuk menjaga kebajikan petugas kesihatan termasuk menyerapkan kakitangan kontrak sebagai tetap.
“Kalau sudah sampai tahap wad kecemasan pesakit kena menunggu lama sebab tidak cukup doktor, jadi mana lebih penting nyawa atau duit,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap sama memberitahu, hasrat menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu disegerakan atau selewat-lewatnya pertengahan tahun ini kerana rancangan itu sudah lama namun sehingga kini belum nampak hasilnya walaupun kerajaan mahu ia dibentangkan dalam masa terdekat.
Ujar beliau, penubuhan suruhanjaya itu menjadi sembang kosong semata-mata jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan khususnya dalam memperhalusi soal tuntutan doktor kontrak.
“Lagi lambat Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan diwujudkan, selagi itulah masalah kekurangan doktor tidak selesai dan akhirnya hospital berterusan mengalami kesesakan untuk tempoh seterusnya,” jelasnya. – UTUSAN










