SEREMBAN: Bersempena sambutan Aidilfitri, pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) akan menganjurkan pelbagai aktiviti dan program pada 29 sehingga 30 April ini bertempat di Bayu Sutera, Bandar Sri Sendayan di sini.
Ketua Pegawai Pemasaran Matrix Concepts Holdings Berhad, Lim Kok Yee berkata, acara dua hari bertemakan Bunga Bunga Raya itu bermula pukul 6 petang sehingga 10 malam dengan tarikan utama adalah dekorasi lampu hiasan bermotifkan flora yang ditampilkan di sepanjang lokasi acara.
“Tema Bunga-Bunga Raya melambangkan pelbagai ‘warna’ di negara kita iaitu mempunyai pelbagai bangsa dan agama. Kami akan sentiasa menaik dan mengekalkan semangat keharmonian dan perpaduan menerusi acara ini dengan semua dapat meraikan hari raya bersama-sama.
“Setiap hiasan adalah berinspirasikan flora yang menakjubkan dan merangkumi makna yang berbeza seperti kebersamaan, perayaan, kemaafan, harapan, permulaan baharu dan kesucian.
“Lokasi acara akan dihiasi dengan dekorasi lampu bertemakan bunga di mana orang ramai boleh bergambar dan merakamkan kenangan masing-masing di persekitaran yang unik dan penuh warna-warni,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, memeriahkan acara, beberapa aktiviti akan diadakan termasuklah persembahan muzik, demonstrasi permainan gasing, bengkel kaligrafi jawi, lukisan batik buatan tangan selain pasar makanan yang menampilkan juadah tempatan.
Sementara itu, beliau berkata, kemeriahan Syawal akan diteruskan lagi dengan penganjuran Ekspo Matrix Bumi pada 6 hingga 7 Mei depan di lokasi yang sama.
Jelasnya, selain pameran hartanah acara turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan, pertunjukan permainan, pameran motor, bazar hab halal dan kanak-kanak dan kehadiran trak-trak makanan bagi dinikmati pengunjung yang hadir. – UTUSAN









