KUALA SELANGOR: Sambutan Syawal kali ini nyata suram buat keluarga Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, pelajar yang maut dalam kebakaran di sebuah tandas terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini pada 28 Ogos lalu.
Kehilangan Allahyarham menyebabkan ibunya tidak membuat sebarang persiapan raya serta tidak pulang bercuti ke kampung halamannya.
Hizanawati Abu Bakar, 49, berkata, kejadian menimpa anak lelakinya itu masih segar di ingatan biarpun berlalu sejak lapan bulan lalu, malah dia belum mempunyai kekuatan dan semangat untuk beraya kerana masih merindui arwah.
“Jiwa saya meruntun apabila terbayang kenangan menyambut Aidilfitri bersama arwah yang menggemari lontong dan rendang. Air mata ini juga menitis apabila melihat baju Melayu raya terakhirnya.
“Saya langsung tidak membeli pakaian raya atau balik kampung di Bota Kanan, Perak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Puncak Alam, dekat sini baru-baru ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kejadian menyayat hati itu berlaku pada pukul 2.38 petang apabila Muhammad Damin Mikhail ditemukan dengan kesan melecur di dalam tandas berkenaan.
Tindakan dua rakan Allahyarham berusia 15 dan 16 tahun dipersoal kerana didakwa melakukan gurauan keterlaluan dengan bermain api sehingga meragut nyawa. Keluarga pelajar tingkatan empat itu mahu dua pelaku menerima hukuman setimpal atas perbuatan mereka sekiranya didapati bersalah kelak.
Menurut Hizanawati, dia pernah bermimpi arwah yang berkemeja putih memeluk dirinya sambil berpesan supaya tidak bimbang dan tersenyum.
“Selain itu, Damin hadir dalam mimpi dua lagi anak saya yang antaranya memberitahu dirinya gembira di alam sana. Biarpun pilu, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” luah ibu kepada enam anak itu.
Tambah beliau, keluarga menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada polis yang masih menjalankan siasatan menyeluruh.
“Saya cuma inginkan keadilan sewajarnya kepada arwah yang pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata,” jelasnya. – UTUSAN











