PUTRAJAYA: Kira-kira 4,200 vaksinator atau pemvaksin dalam kalangan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjadi kumpulan terawal diberikan vaksin sebelum mereka melaksanakan tugas di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada rakyat bermula 26 Februari ini.
Vaksinator berkenaan adalah daripada 500,000 petugas barisan hadapan yang juga menjadi kumpulan pertama penerima vaksin pada fasa pertama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, semua pemvaksin dan 500,000 petugas barisan hadapan itu telah dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai suntikan vaksin tersebut sebaik bekalan dari syarikat Pfizer tiba ke negara ini.
Menurut beliau, kerajaan akan menempatkan tujuh pemvaksin di setiap pusat vaksinasi yang meliputi 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.
Katanya, setiap pemvaksin akan memberi suntikan vaksin kepada sekurang-kurangnya 30 orang sehari di setiap 600 PPV sekali gus dijangka mampu mencapai 126,000 orang dalam tempoh tersebut.
“Pada fasa pertama, sebanyak 278 daripada 600 PPV telah dikenal pasti dan bersiap sedia melaksanakan Pelan Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan dengan dilengkapkan kemudahan tempat penyimpanan suhu ultra sejuk Ultra Low Temperature Freezer (ULTF).
“Kementerian Pertahanan, hospital universiti dan hospital swasta akan bersama-sama dengan KKM memberi vaksinasi kepada anggota barisan hadapan di fasiliti masing-masing,” kata beliau ketika ditemui di pejabat beliau beberapa hari lalu.
Dr. Adham berkata, sebaik vaksin Comirnaty di bawah Syarikat Pfizer tersebut tiba, ia akan dihantar ke 54 pusat simpanan vaksin yang bersuhu ultra sejuk, -75°C (+/-15°C).
Bagi melancarkan proses vaksinasi, jelas beliau, setiap penerima diberikan ‘Borang Kebenaran Suntikan Vaksin Covid-19’ untuk dilengkapkan maklumat sebelum hadir ke Pusat Pemberian Vaksin pada tarikh temu janji.
“Setiap hari temu janji, kita juga menyediakan senarai penerima tambahan sebagai back up jika ada penerima vaksin tidak hadir atas faktor tertentu.
“Ini kerana vaksin dibuka perlu digunakan,” katanya.
Katanya, tempoh pelaksanaan imunisasi fasa pertama akan berlangsung dua bulan mengikut ketersediaan vaksin yang diperoleh secara berperingkat.
Bagi fasa kedua Dr.Adham memaklumkan, ia melibatkan warga emas dan kumpulan berisiko seperti individu menghidap penyakit saluran pernafasan kronik, penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang semuanya dianggarkan meliputi 9.4 juta penduduk.
Jelas beliau, pada tempoh tersebut, sejumlah 600 PPV fasiliti kerajaan selain melibatkan tambahan 3,000 fasiliti kesihatan swasta akan memberikan suntikan vaksin pada April hingga Ogos ini.
“Selebihnya akan divaksinkan dalam fasa ketiga yang melibatkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas sekali gus dijangka mampu meliputi 70 peratus penduduk atau berjumlah 23.6 juta individu pada tahun ini.
“Tujuan kita membuat pelaksanaan secara berfasa ini kerana ketersediaan vaksin adalah terhad, jadi kita perlu utamakan mereka yang berisiko dengan jangkitan Covid-19,” katanya.
Dr. Adham berkata, matlamat utama kerajaan akhirnya ialah bagi memastikan rakyat mendapat pelindungan daripada jangkitan Covid-19 seterusnya membentuk imuniti.
Namun, kata beliau, individu yang sudah divaksin perlu terus mengamalkan kehidupan norma baharu iaitu 3W (wash, wear, warn) dan elakkan 3S (sempit, sesak dan sembang dekat).
“Kerajaan amat berhati-hati memberikan vaksin kepada rakyat terutama dari aspek keberkesanan, kualiti dan keselamatan sesuatu vaksin itu.
“Vaksin yang dibawa masuk ke dalam negara melalui proses penilaian ketat Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan selanjutnya kelulusan dan pendaftaran pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan,” jelas beliau.
Sebelum divaksin, kata Dr. Adham, individu berkenaan disaring untuk mengetahui status kesihatan masing-masing bagi mengesan sejarah alahan teruk atau mempunyai penyakit-penyakit yang menyebabkan imuniti rendah.
Dalam pada itu, Dr. Adham berkata, orang ramai tidak perlu gusar kerana kerajaan berusaha memastikan bekalan vaksin mencukupi bagi menampung 70 peratus penduduk negara, sebagaimana jaminan dalam Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.- UTUSAN











