Ikhtiar khas gembirakan rakyat - Utusan Malaysia

Ikhtiar khas gembirakan rakyat

Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengumumkan tujuh ikhtiar khas sempenan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Putrajaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan tujuh ikhtiar khas bagi meringan beban rakyat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri termasuk tol percuma di 33 lebuh raya selama empat hari bermula hari ini.

Ikhtiar itu turut membabitkan diskaun saman trafik RM50, cuti umum tambahan Aidilfitri, pemberian diskaun khas ke atas pembelian barang mentah kepada peng­usaha Menu Rahmah dan tawaran harga simen berpatutan kepada golongan pemaju perumahan mampu milik.

Kerajaan juga bersetuju menambah peruntukan RM250 juta untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan pelaksanaan pelepasan orang bebas berlesen untuk membolehkan banduan beragama Islam pulang meraikan hari raya bersama keluarga.

Semua ikhtiar khas itu di­umumkan Perdana Menteri, Da­tuk Seri Anwar Ibrahim semalam dalam perutusan khas menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Anwar berkata, pemberian Tol Rahmah percuma melibatkan semua kelas kenderaan di 33 lebuh raya pada 19 hingga 21 April dan 24 April boleh mengurangkan kos rakyat yang akan pulang beraya di kampung ma­sing-masing.

Menurut beliau, kerajaan tu­rut bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan iaitu pada Isnin, 24 April 2023 jika tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, manakala cuti pada Jumaat jika Hari Raya pertama pada Sabtu, 22 April.

TAMBAHAN

Perdana Menteri berkata, keputusan memberikan cuti tambahan pula berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk sambutan Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman.

“Pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal 1444H akan dibuat pada Khamis ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan Kadar Khas Bayaran Saman sebulan bermula 21 April sehingga 21 Mei bagi semua saman trafik dengan kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya.

Katanya, setiap saman boleh dilunaskan dengan harga RM50 dan kadar khas tersebut tidak terpakai bagi saman dikeluarkan pada tahun ini.

Anwar berkata, ikhtiar khas seterusnya, Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).

PELUANG

Kata beliau, ikhtiar ini memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga selain penghuni agama lain berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal,” kata­nya.

Bagi mengurangkan beban pengusaha Menu Rahmah berikutan kos pengeluaran meningkat, kerajaan menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas.

“Usaha tersebut adalah dengan kerjasama pasar raya terpilih sebagai prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah dan menghargai sumbangan para pengusaha Menu Rahmah yang sama-sama menjayakan aspirasi Madani mengurangkan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta akan menawarkan harga simen berpatutan untuk manfaat pemaju rumah mampu milik.

Beliau berkata, ikhtiar ini menumpukan kepada kategori rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah yang akan memanfaatkan golo­ngan B40 dan M40 dengan pe­ngurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×