DENGAN penggabungan UMNO dan gagasan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dijangka Barisan Nasional (BN) dan PH akan bersepakat menentang Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan nanti.
Dalam PRU14, PH berjaya merampas tampuk pemerintahan di Negeri Sembilan dengan memenangi 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Parti pembangkang, UMNO pula hanya mengutip 15 kerusi dan MIC satu kerusi.
PN pada masa ini tidak mewakili sebarang kerusi di negeri itu. Oleh hal demikian, jika PH dan BN berganding bahu dalam PRN, mereka dipercayai akan membentuk kerajaan negeri di Negeri Sembilan dengan mudah.
Sesungguhnya pemerintahan PH di Negeri Sembilan tidak tergugat berikutan berlakunya kemelut politik ‘Langkah Sheraton’ pada 2020. Kemelut politik itu menyaksikan sekumpulan besar wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan kerajaan pimpinan PH. Kemudian mereka bergabung dengan UMNO dan Pas membentuk kerajaan baharu di peringkat nasional dan di Kedah, Perak, Melaka serta Johor tanpa melalui sebarang proses pilihan raya.
Kerajaan negeri pimpinan PH di Negeri Sembilan kukuh seperti sediakala disebabkan Bersatu dan Pas tidak memperoleh apa-apa kerusi baik di DUN mahupun Parlimen dalam PRU14 di negeri tersebut. Tambahan lagi, tiada wakil rakyat dari PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang melompat parti selepas kemelut politik berlaku.
Dalam PRU14, PH menang 20 kerusi DUN melalui usaha sama DAP (11 kerusi), PKR (6 kerusi) dan Amanah (3 kerusi). Daripada 21 kerusi yang dipertandingkan, UMNO hanya kalah enam kerusi. Jika ditinjau dari segi kemenangan mengikut parti secara individu, UMNO merupakan parti yang memenangi paling banyak kerusi DUN di Negeri Sembilan.
UMNO juga didapati merekodkan prestasi amat baik dalam PRU15. Parti itu memenangi kesemua lima kerusi Parlimen yang ditandinginya. Mereka berjaya menawan semula kerusi Parlimen Kuala Pilah dan Tampin. Undi majoriti UMNO di Parlimen Jelebu, Rembau dan Jempol juga banyak meningkat.
Dengan kesungguhan yang ada pada UMNO di Negeri Sembilan sekarang, parti itu sebenarnya mempunyai peluang cerah untuk menawan semula tampuk pemerintahan yang mereka hilang dalam PRU14. UMNO dan BN di Negeri Sembilan sentiasa bercita-cita untuk merebut kesemua 36 kerusi DUN menjelang PRN nanti.
Namun, disebabkan PH bersekutu dengan UMNO di peringkat Pusat, dijangka mereka bersepakat untuk melawan musuh bersama, iaitu gagasan PN yang diterajui Bersatu dan Pas dalam PRN Negeri Sembilan.
KETUA KAMPUNG
Yang menarik, siapakah akan menyandang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan selepas memenangi PRN nanti? Dalam pada itu, berapakah kerusi DUN yang akan diperuntukkan kepada BN (UMNO) dari pucuk pimpinan tertinggi kerajaan perpaduan juga sering dipertanyakan. Demi kemenangan, kedua-dua pihak perlu mencapai kata sepakat dalam soal pembahagian jawatan ahli majlis daerah dan ketua kampung.
Daripada keputusan pemilihan parti yang terbaharu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memperlihatkan kepimpinan dan kekuatan yang sukar dicabar oleh mana-mana pemimpin UMNO lain. Bukan itu sahaja, UMNO Negeri Sembilan amat kukuh di bawah pimpinan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Jikalau PH dan UMNO bersekutu dalam PRN, dijangka mereka dapat mengambil dua pertiga daripada kesemua kerusi DUN tanpa sebarang cabaran besar.
PH Negeri Sembilan sudah tentu ingin terus mengekalkan jawatan Menteri Besar yang disandangnya jikalau keadaan mengizinkan. Pada masa sama, PH pasti mengharapkan kerjasama dengan UMNO bagi menjamin kemenangan sekurang-kurangannya separuh daripada jumlah kerusi dipertandingkan.
Kalau dibandingkan dengan kekuatan UMNO di negeri-negeri lain, UMNO Negeri Sembilan didapati berada di paras paling teguh dan bersemangat tinggi. Kemenangan barangkali memihak kepada PH dan BN kerana kekuatan PN di Negeri Sembilan relatif lemah dan tidak kelihatan mempunyai barisan pemimpin yang menonjol.
Dalam PRU15, walaupun PN memperoleh tempat kedua dari segi peratusan undi di kerusi Parlimen Seremban, namun ia hanya memperoleh 26 peratus daripada jumlah undi keseluruhan. Di tujuh kerusi Parlimen lain, perolehan undi PN berada di tangga ketiga.
Kalau BN, PH dan PN bebas menentang antara satu sama lain seperti dalam PRU14, PN berkemungkinan dapat mencapai keputusan cemerlang di Pertang, Seri Menanti, Bagan Pinang dan Gemencheh. Kini, UMNO sekurang-kurangnya memiliki 11 kerusi selamat. Bilangan kerusi yang mampu PN atasi PH atau UMNO adalah terhad. Kalau PN menang empat kerusi di atas pun, ia masih jauh daripada sasaran berkuasa di DUN.
Meskipun PH berkuasa di Negeri Sembilan selepas mengutip 20 kerusi dalam PRN lepas, terdapat beberapa kerusi DUN dimenangi mereka dengan undi majoriti yang kecil. Antaranya di Ampangan (PKR), Klawang (Amanah), Lenggeng (Amanah) dan Chennah (DAP). Akan tetapi, keadaan kurang baik ini dapat diatasi dengan penggabungan UMNO dalam PRN memandangkan UMNO mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan pengundi luar bandar.
Pada hakikatnya, UMNO merupakan pesaing hebat kepada PH. Namun, demi kelangsungan politik dan masing-masing berhadapan dengan musuh kuat yang sama, iaitu PN, maka kedua-dua gagasan politik itu suka atau tidak terpaksa menggembleng tenaga untuk melawan Bersatu dan Pas. – UTUSAN
Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










