KUALA LUMPUR: Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin) menambah sembilan sektor tumpuan melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion yang bakal menjana hingga 49,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sektor-sektor tersebut adalah pelancongan digital, pertanian digital, bandar digital, kandungan digital, kewangan digital, perdagangan digital, servis digital, kesihatan digital dan ekonomi digital Islam.
Katanya, sembilan sektor tumpuan itu telah dikenal pasti oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan penambahan sekali gus akan meningkatkan ketersediaan serta daya saing di samping memacu inovasi serta kerjasama dalam kalangan pemain industri.
“MDEC menjangkakan peluang pelaburan bernilai RM1 bilion akan dijana dengan pelancaran inisiatif ini dan melalui kerjasama pemain industri yang datang daripada sektor swasta.
“Kami menggesa sektor swasta untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk mewujudkan ekosistem teknologi yang lebih padu, inklusif dan inovatif.
“Saya percaya bukan hanya dengan sektor swasta, tapi juga agensi-agensi lain di bawah kementerian yang menguruskan pusat ekonomi digital. Kita akan mampu memastikan lebih ramai Malaysia dapat terlibat dalam ekonomi digital kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran tersebut di sini Bangsar South di sini, semalam.
Tambahnya, geran untuk Pemangkin dijangka boleh dipohon selepas Hari Raya Aidilfitri atau pada awal Mei.
“Pihak MDEC akan membuat perincian mengenai kriteria yang diperlukan untuk pemohon membuat permohonan.
“Hari ini (semalam), lebih kepada pengenalan kepada sembilan sektor tersebut. Selepas ini akan akan pengenalan secara peringkat mengikut sektor supaya maklumat yang diberikan lebih terperinci,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, kerajaan akan melabur sebanyak RM192.9 juta dalam program tersebut membabitkan pelaburan sebanyak RM143 juta, pemboleh teknologi (RM45 juta) dan geran (RM4.9 juta).
“Kami menjalankan kajian dan mendapati ada sembilan sektor yang berpotensi. Sebenarnya ada banyak lagi tapi masing-masing ada kelemahan dan kekuatan.
“Dari segi infrastruktur yang ada, syarikat-syarikat yang terlibat dalam sektor berikut mempunyai potensi untuk mengeksport. Jadi, bukan sahaja mempunyai keupayaan untuk mencipta tapi juga boleh mengeksport ke luar negara. Itu juga disokong oleh kajian daripada global,” ujarnya. – UTUSAN










