Sektor awam perlu jadi contoh ambil bekas banduan bekerja

Sektor awam perlu jadi contoh ambil bekas banduan bekerja

IRONINYA, bekas banduan masih berhadapan persepsi, stigma serta tohmahan daripada masyarakat yang sukar menerima kembali mahupun memaafkan perbuatan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN lebih 70,000 banduan di negara ini dikenal pasti mempunyai nilai produktif untuk menjadi sumber tenaga kerja tempatan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing adalah satu berita yang sangat dialu-alukan. Selain dapat menampung keperluan tenaga pekerja, ruang dan peluang seperti ini sudah tentu boleh memberikan sinar harapan kepada banduan untuk memulakan kehidupan baharu kelak.

Tatkala negara berhadapan masalah kekurangan tenaga pekerja terutama di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) sehingga terpaksa bergantung harap kepada pekerja asing, laporan ini sewajarnya melegakan majikan dengan harapan boleh menggaji bekas banduan untuk mengisi kekosongan di pelbagai bidang pekerjaan tersebut.

Kementerian Sumber Manusia juga dilaporkan menggalakkan lebih ramai majikan membuka peluang menggaji banduan iaitu orang di bawah parol (ODP) atau orang diselia (ODS) dan bekas banduan terlebih dahulu, berbanding menggaji pekerja asing dengan sasaran seramai 15,000 banduan akan mendapat pekerjaan menerusi kerjasama strategik yang dilakukan antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Penjara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Secara teorinya, laporan dan cadangan ini dilihat cukup menarik kerana memberi peluang kedua kepada banduan selain dapat menangani masalah kekurangan pekerja di beberapa sektor kritikal. Namun, sejauh mana ia mudah dan dapat direalisasikan?

Ironinya, bekas banduan masih berhadapan dengan persepsi, stigma serta tohmahan daripada masyarakat yang sukar menerima kembali mahupun memaafkan perbuatan mereka. Ini termasuk majikan yang masih tidak berani dan tidak sanggup mengambil risiko menggaji bekas banduan. Majikan bukan sahaja khuatir akan menimbulkan masalah, malah bimbang imej dan nama baik organisasi terjejas atau dipandang serong jika diketahui pekerja mereka bekas banduan.

Tambahan pula buat masa sekarang, bekas banduan juga tidak dapat bekerja dalam sektor awam disebabkan sudah ada rekod jenayah. Jadi, kita khuatir halangan dan cabaran seperti ini akhirnya menyebabkan tidak ramai yang mendapat peluang untuk bekerja dan membina semula kehidupan sekali gus membawa mereka kembali menjalani kehidupan lama, iaitu terlibat dengan jenayah atas desakan kelangsungan hidup.

Walaupun bergelar bekas banduan serta melakukan pelbagai kesalahan, tidak wajar menafikan hak mereka untuk berubah dan memperbaiki kesilapan lalu. Tuntasnya, kita perlu berlaku adil kepada bekas banduan.

Justeru, semua komponen masyarakat perlu memainkan peranan jika kita mahu membantu kelompok terpinggir ini. Sebagai individu yang telah disabitkan kesalahan dan selesai mengikuti tempoh hukuman, wajar mereka diberi peluang kedua.

Dalam konteks ini, keluarga, masyarakat sekeliling, majikan sektor swasta dan juga awam wajar menyantuni keperluan mereka supaya boleh meneruskan kehidupan sekali gus tidak kembali ke kehidupan lampau.

Terimalah seadanya, maafkan kesalahan lalu dan bantu mereka memulakan hidup baharu. Jangan sesekali menyisihkan kerana mereka tiada tempat lain untuk dituju. Peluang kedua diberikan oleh ahli keluarga akan menjadi pembakar semangat yang sangat signifikan untuk mereka melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan positif.

MEF

Betul mereka telah melakukan kesalahan tetapi ingat, mereka telah pun menerima hukuman setimpal. Justeru, jangan terus menghukum mereka sebaliknya bantu untuk memulihkan kehidupan.

Bukan mudah seorang bekas banduan memperoleh peluang pekerjaan bila status mereka diketahui umum. Justeru, majikan perlu berlapang dada membuka peluang kepada mereka untuk hidup berdikari. Ketika ini sudah ada majikan dari sektor swasta yang mengambil bekas banduan untuk bekerja, namun bilangannya masih kecil.

Malah Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) sendiri mengakui ada majikan masih takut untuk mengambil bekas banduan bekerja di syarikat mereka. Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan majikan, sebaliknya masyarakat perlu terlebih dahulu memperbetulkan segala tanggapan negatif terhadap banduan dan menerima mereka.

Pada masa sama, tuntutan agar sektor awam menjadi contoh kepada swasta dengan mengambil bekas banduan sebagai penjawat awam juga ada merit serta asas yang kukuh dan wajar diteliti oleh kerajaan. Ketika ini, syarat pelantikan perkhidmatan awam menetapkan semua calon tidak boleh mempunyai apa-apa rekod jenayah.

Dicadangkan kerajaan memperkenalkan sistem kuota untuk kelompok bekas banduan sama macam golongan orang kurang upaya (OKU). Sektor awam boleh memperkenalkan skim perkhidmatan khas seperti skim perkhidmatan rahmah atau ihsan bagi menyantuni kebajikan dan masa depan golongan kurang bernasib baik seperti ini sekali gus tidak menjejaskan saluran pengambilan sedia ada.

Melalui skim khas ini permohonan bekas banduan boleh diteliti secara terperinci mengikut rekod sikap dan tingkah laku sepanjang menjalani hukuman di penjara, latar belakang kesalahan dilakukan serta kelayakan, pengalaman dan kemahiran dimiliki. Jika sektor awam mampu membuka pintu kepada bekas banduan, ini akan menjadi contoh dan dorongan kepada sektor swasta untuk turut serta tanpa sebarang keraguan.

Tuntasnya, sekali buat salah tidak bermaksud mereka akan terus melakukan kesalahan sama untuk selamanya. Cukuplah hukuman yang telah mereka lalui selama ini, marilah kita menzahirkan rasa keprihatinan dan tanggungjawab sosial demi kelangsungan hidup kelompok bekas banduan yang sering disisih oleh keluarga dan masyarakat. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×