PETAING JAYA: Jualan kenderaan di negara ini meningkat kepada 78,849 unit pada Mac 2023 daripada 73,250 unit pada bulan sama tahun sebelum, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA berkata, jualan kenderaan penumpang naik kepada 70,958 unit pada Mac daripada 65,903 unit pada bulan sama 2022, manakala jualan kenderaan komersial meningkat kepada 7,891 unit daripada 4,347 unit.
Katanya, bagi tiga bulan pertama tahun ini, jualan turut melonjak kepada 192,474 unit berbanding 159,846 unit.
Jelasnya, bagi tempoh tersebut, jualan kenderaan penumpang naik kepada 171,955 unit berbanding 140,592 unit bagi 2022 dan kenderaan komersial sebanyak 20,519 unit berbanding 19,254 unit pada 2022.
“Jumlah jualan dari awal tahun hingga Mac 2023 adalah 20 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu.
“Jumlah keseluruhan industri (TIV) bulan dikaji juga adalah 24 peratus lebih tinggi berbanding 63,510 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
“TIV mencapai paras tertinggi pada Mac 2023 dengan 78,849 unit. Ini berikutan syarikat memenuhi tempahan yang dibuat semasa tempoh pengecualian jualan, penghantaran oleh syarikat yang tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2023 dan kempen promosi musim perayaan Hari Raya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dari segi jumlah pengeluaran, MAA berkata, sebanyak 76,069 kenderaan dikeluarkan pada Mac 2023 berbanding 59,908 unit pada bulan sama tahun lalu.
Jelasnya, pengeluaran kenderaan penumpang meningkat kepada 71,731 unit pada bulan tersebut berbanding 55,137 unit pada Mac tahun lalu, manakala pengeluaran kenderaan komersial pada 4,338 unit daripada 4,771 unit sebelumnya.
Bagi tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 198,394 unit dikeluarkan berbanding 154,160 unit untuk tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, 186,237 unit adalah kenderaan penumpang pada tempoh dikaji berbanding 142,037 unit bagi tempoh sama tahun lalu, manakala kenderaan komersial pula pada 12,157 unit dikeluarkan pada tempoh dikaji berbanding 12,123 unit pada tempoh sama tahun lalu.
Mengulas mengenai unjuran untuk April 2023, MAA menjangkakan jumlah jualan akan lebih rendah berbanding Mac 2023.
“Ini berikutan, hari bekerja yang lebih pendek pada bulan ini kerana cuti Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya. – UTUSAN










