Global Sadaqah kumpul RM450,000 dalam 72 jam tempoh kempen - Utusan Malaysia

Global Sadaqah kumpul RM450,000 dalam 72 jam tempoh kempen

Ifran Tarmizi (kanan) bersama wakil Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur dalam suatu misi bantuan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rakyat Malaysia sememangnya pemurah apabila Global Sadaqah merekodkan kutipan dana sebanyak RM450,000 dalam tempoh 72 jam derma kilat dibuka baru-baru ini. Angka itu sekali gus melangkaui sasaran minimum sebanyak RM200,000.

Global Sadaqah, sebuah syarikat permulaan teknologi kewangan (fintech) tempatan, merekodkan kutipan dana sebanyak RM450,000 yang diraih melalui penerbitan sahamnya menerusi platform pembiayaan dana awam berekuiti dan patuh syariah baharu yang dikawal selia, Ethis Malaysia.

Pengurus Global Sadaqah di Malaysia, Ifran Tarmizi berkata, dana pelaburan diterima itu digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan ditawarkannya di Malaysia dan meningkatkan pengaruh syarikat di pasaran utama selain mengadaptasi teknologi baharu.

Fokus pihaknya ketika ini ialah bekerjasama dengan lebih banyak badan korporat dan yayasan yang menyediakan dana untuk program lestari serta berimpak. Sebagai contoh katanya, program Qard Hassan yang baru dilancarkan untuk perusahaan mikro di Malaysia.

“Pada waktu ini, penting untuk melakukan pengagihan dan impak berkesan dipertingkatkan terutama bagi memastikan kelestarian zakat dan derma daripada penderma besar serta badan korporat.

AGIHAN SOSIAL

“Kami terus berusaha menyediakan pusat perkhidmatan setempat buat syarikat dan perniagaan milikan umat Islam untuk mengagihkan dana sosial mereka dengan mudah. Pada masa sama, Global Sadaqah turut mengembangkan kerjasama SocioBiz dengan Alliance Islamic Bank,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Selain kempen pembiayaan dana awam kilat, ia turut berjaya menarik pelabur dari lebih 10 negara termasuk pelabur strategik.

Kata Ifran, meskipun tumpuan khusus diberikan kepada pelanggan korporat, platform pembiayaan dana awam, Global Sadaqah masih dibuka kepada umum, malah berkembang dua kali ganda saban tahun dengan Malaysia dan Singapura adalah negara penderma tertinggi.

Katanya, platform ini memudahkan derma sumbangan dengan memberi akses kepada 11 saluran berbeza, termasuk penyedia dompet maya di Malaysia, Bitcoin dan emas digital.

“Kempen semasa dan terbuka termasuk bantuan segera untuk bencana alam di Malaysia dan Indonesia serta usaha bantuan berkaitan Covid-19,” katanya yang menjelaskan ia turut menampilkan pelbagai kempen anjuran rakan amal yang sudah disaring dan disahkan.

Antara pelabur angel menyumbang termasuk Azmi Muslimin dari Singapura, Khaled Fuad, berpangkalan di Gulf Cooperation Council (GCC) dan Awaiz Patni, antara individu berkerjaya yang mempunyai pengaruh dalam pengurusan syarikat pelaburan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×