Sanusi perlu henti keluar kenyataan bersifat spekulasi

Sanusi perlu henti keluar kenyataan bersifat spekulasi

DARI kiri, Mohammed Taufiq Johari; Muhammad Sanusi Md. Nor dan Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat spekulasi tanpa sebarang asas dan bukti yang kukuh dalam sesuatu perkara. 

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, Muhammad Sanusi kebelakangan ini tidak cermat mengeluarkan kenyataan, selain terdapat unsur-unsur penipuan dan politik tidak matang dalam ucapannya yang seolah-olah beliau gopoh ingin berkata tanpa berfikir.

Katanya, kenyataan beliau dalam isu melibatkan Majlis Kewangan Negara hanya menimbulkan syak wasangka antara pemimpin dan seperti tidak mempercayai sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Kedah.

“Beliau perlu bersikap seperti seorang Menteri Besar. Kebijaksanaan Tuanku Sultan tidak wajar dipertikai dan belum ada sebarang kenyataan dibuat. Malah, kenyataannya bukan sahaja akan mengeruhkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan walaupun acapkali berlaku sebegitu akibat kenyataan beliau yang lain.

“Namun, ia juga menunjukkan bahawa beliau seakan-akan mempersoal kebijaksaan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan menyatakan seolah-olah Sultan Kedah mudah dipengaruhi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah mengulas kenyataan Muhammad Sanusi pada Majlis Iftar Anak Kedah baru-baru ini yang mendakwa terdapat usaha menyingkirkannya daripada Majlis Kewangan Negara dan akan digantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri. 

Mohammed Taufiq berkata, di bawah Perkara 108 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa Majlis Kewangan Negara yang terdiri daripada Perdana Menteri, mana-mana menteri yang ditetapkan oleh Perdana Menteri dan seorang wakil dari setiap negeri yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

“Tambahan pula, beliau sendiri mengaku tidak mempunyai bukti kerana perkara itu belum terjadi. Pada saya, ini sebenarnya hanyalah spekulasi semata-mata. Tidak lain, hanya ketakutan beliau terhadap bayangannya sendiri.

“Saya sebagai pemimpin muda bercita-cita untuk melihat kematangan politik daripada pemimpin yang lebih senior. Beliau seharusnya lebih fokus untuk memikirkan tentang kesejahteraan rakyat dan menjaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. 

“Beliau kini mewakili Kedah, bukan parti politik. Meskipun tidak sealiran, namun beliau perlu sedar bahawa fokus gerak kerja kepada rakyat perlu diberi keutamaan dan perlu ada usaha ke arah mencari titik persefahaman, bukan terus mengeruhkan keadaan. Kenyataan-kenyataan seperti ini langsung tidak membantu dalam membangun negeri Kedah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Muhammad Sanusi perlu memastikan peristiwa disaman RM120,000 melibatkan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tidak berulang.

“Tidak wajar menuding jari menuduh kerajaan hari ini berkomplot untuk mengetepikan beliau sedangkan kerajaan hari ini tiada kuasa muktamad untuk menentukan wakil negeri. Menteri Besar perlu menghentikan sandiwara politik yang akhirnya menunjukkan beliau tidak faham peruntukan undang-undang.

“Saya cabar Muhammad Sanusi dedah butiran surat yang kononnya melobi agar beliau disingkirkan daripada keanggotaan Majlis Kewangan Negara. Ini adalah satu pertuduhan dan spekulasi yang sangat berat dan serius,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×