KUALA LUMPUR: Petronas memperuntukkan 20 peratus daripada jumlah perbelanjaan modal (capex) untuk meningkatkan penyahkarbonan dan tenaga boleh baharu (RE) sehingga 2026.
Ketua Strategi, Dasar dan Peraturan, Kemampanan Korporat Petronas, Wan Sayuti Wan Hussin berkata, syarikat akan menumpukan pada teknologi, inovasi dan perkongsian untuk mempercepatkan kemajuan kepada pelepasan karbon sifar bersih.
Katanya, perkara yang akan diberi penekanan adalah pengurangan pelepasan operasi melalui sifar rutin pembakaran dan pembuangan, kecekapan tenaga, penggunaan elektrik dan penangkapan dan penyimpanan karbon.
“Selain itu, kami juga melihat pada peluang pertumbuhan perniagaan dalam ekonomi rendah karbon.
“Ini termasuk tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, mobiliti hijau, bahan api bio, bahan kimia khusus, ekonomi bulat dan penyelesaian iklim berasaskan alam semulajadi,” katanya pada majlis mengenai Aspirasi dan Bahagian Fokus Sifar Karbon Bersih Petronas di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Kelestarian Petronas, Charlotte Wolff-Bye dan Ketua Tadbir Urus, Perancangan dan Prestasi, Kemampanan Korporatnya, Masayu Husain.
Beliau berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian tenaga bersih baharu untuk masa depan.
Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai kapasiti untuk memberitahu jumlah capex tersebut. – UTUSAN










