IPP Februari bertambah baik, 3.6 peratus

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia bertambah baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pada Februari 2023 bertambah baik kepada 3.6 peratus berbanding pertumbuhan sederhana sebanyak 1.8 peratus bulan sebelumnya.

IPP merekodkan pengembangan 2.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Menurut ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, pengembangan IPP diterajui oleh sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 4.9 peratus (berbanding Januari 1.3 peratus) dan sektor elektrik naik 1.1 peratus (Januari, -4.3 peratus).

Beliau berkata, sebaliknya, output sektor perlombongan menyusut secara marginal sebanyak 0.5 peratus, selepas mencatatkan pertumbuhan positif selama lapan bulan berturu-turut.

“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, IPP terus menurun sejak Disember 2022 dengan merekodkan negatif 5.1 peratus pada Februari 2023 (Januari 2023: -2.3%),” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, pengeluaran bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang dua pertiga daripada output pembuatan, berkembang sebanyak 3.9 peratus pada Februari 2023 berbanding 0.6 peratus bulan sebelumnya.

Katanya, pengembangan disokong oleh pengeluaran pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan yang melonjak sebanyak 21.5 peratus (Januari 2023: 8.3 peratus); dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal meningkat 6.4 peratus (Januari 2023: 0.8 peratus).

“Pada masa sama, pertumbuhan industri berorientasikan domestik mengatasi pertumbuhan pembuatan nasional dengan mencatatkan 7.0 peratus pada Februari 2023 (Januari 2023: 2.7 peratus).

“Peningkatan tersebut disumbangkan oleh momentum positif yang dicatatkan dalam semua kumpulan kecuali pembuatan minuman yang mencatatkan penurunan sebanyak 2.3 peratus pada Februari,” katanya.

Tambah beliau, pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan; dan pembuatan produk prosesan makanan memacu pertumbuhan industri berorientasikan domestik dengan masing-masing berkembang sebanyak 8.9 peratus (Januari 2023: 1.5 peratus) dan 8.5 peratus (Januari 2023: 0.4 peratus).

“Berbanding Januari 2023, sektor Pembuatan menguncup untuk bulan ketiga dengan mencatatkan negatif 3.9 peratus,” katanya.

Mohd. Uzir menambah, pengeluaran sektor perlombongan pada Februari susut sebanyak 0.5 peratus dipengaruhi oleh penurunan kecil dalam kedua-dua komponen yang mana indeks minyak mentah & kondensat jatuh 0.3 peratus (Januari 2023: 8.0 peratus) manakala indeks gas asli menguncup 0.5 peratus (Januari 2023: 4.5 peratus).

Berbanding bulan sebelumnya, indeks Perlombongan merosot kepada negatif 9.6 peratus berbanding pertumbuhan positif 1.7 peratus yang dicatatkan pada Januari 2023.

“Output Elektrik pulih kepada 1.1 peratus pada Februari 2023 selepas mencatatkan penyusutan berterusan selama empat bulan berturut-turut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×