PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan kerjasama Gentari Sdn. Bhd. (Gentari), melancarkan pengecas kenderaan elektrik (EV) pertamanya di Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Ia terdiri daripada dua unit pengecas arus ulang-alik (AC) 11kW dan 22kW, dan satu unit pengecas pantas arus terus (DC) 60kW, yang dilengkapi dengan dua titik pengecasan.
Pengecas-pengecas itu merupakan yang pertama untuk Kumpulan PNB dan inisiatif pertama seumpamanya di Kelantan yang beroperasi 24 jam sehari, untuk kemudahan para pemandu EV.
PNB telah bekerjasama dengan syarikat penyelesaian tenaga bersih Gentari, melalui anak syarikat milik penuhnya Gentari Green Mobility Sdn. Bhd. untuk memasang sejumlah 59 unit pengecas EV di 18 hartanah di bawah Kumpulan PNB. Pemasangan dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik PNB, Rick Ramli dalam ucapan pelancaran itu berkata, pengaturan kedudukan pengecas-pengecas EV akan merangkumi pelbagai perniagaan di bahagian hartanah termasuk pejabat, hotel & pusat
peranginan, kelab golf dan pusat beli-belah di bawah Kumpulan PNB.
“Penempatan kami yang seterusnya adalah di Villea Rompin Resort & Golf di Kuala Rompin, Pahang, Plaza Pelangi, Pelangi Leisure Mall dan Perling Mall di Johor Bahru, Johor, Menara PNB di Kuala Lumpur dan 12 hartanah lain.
“Inisiatif ini adalah sejajar dengan Komitmen #2 Rangka Kerja Kelestarian PNB untuk memacu usaha penyahkarbonan dalam portfolio kami dan akan menyokong ekosistem EV di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon Kerajaan Malaysia 2021 – 2030; komitmen untuk menubuhkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025,” Rick Ramli berkata lanjut,” katanya.
Ketua Pegawai Operasi, Gentari Green Mobility, Haikal Zubir berkata, syarikat berbesar hati bekerjasama dengan PNB yang mempunyai visi yang sama dalam perjalanan ke arah mobiliti hijau.
Melalui kerjasama itu katanya, Gentari akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan di hartanah PNB untuk menyokong keperluan pemandu kenderaan elektrik, bermula dengan Perdana Kota Bharu, Kelantan.
“Ini juga menandakan pengembangan jejak infrastruktur pengecasan kami ke rantau Pantai Timur yang akan meningkatkan keyakinan pemanduan antara negeri,” katanya.
Penempatan pengecas-pengecas EV di hartanah Kumpulan PNB, adalah salah satu inisiatif di bawah teras ‘Alam Sekitar’ Rangka Kerja Kelestarian, dalam menyokong peralihan ke arah ekonomi hijau. – UTUSAN










