MARAN: Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirayu mengembalikan bonus produktiviti atau duit raya kepada 112,635 peneroka di seluruh negara menjelang Aidilfitri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Razak Daud, 63, berkata, warga peneroka berharap tahun ini pihak Felda memberi bonus atau bantuan khas Aidilfitri seperti dinikmati penjawat awam.
Menurutnya, peneroka Felda sudah lama tidak dapat duit raya sebagaimana dinikmati sebelum ini.
“Peneroka Felda mahu bonus sebagai hadiah penghargaan kerajaan dan Felda kepada peneroka kerana titik peluh peneroka adalah penyumbang penting ekonomi negara. Melalui hasil sawit peneroka yang diniagakan, Felda mendapat berbilion keuntungan setiap tahun.
“Walaupun harga sawit kini agak stabil, tidak bererti bonus tidak perlu diberikan. Inilah masanya Felda dan kerajaan mengkaji semula tentang duit raya yang dahulunya menjadi kegembiraan peneroka,” katanya di sini semalam.
Ketua Peneroka Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 65, agak kecewa apabila kerajaan tidak menyenaraikan peneroka tanah rancangan sebagai penerima sumbangan duit raya sempena Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, golongan bernasib baik mendapat bantuan khas Aidilfitri antaranya ialah penoreh getah nelayan dan pesawah.
“Dalam ini Felda harus memainkan peranan supaya warga peneroka turut mendapat bantuan khas menjelang hari raya yang bakal tiba,” katanya.
Ketua Kampung Felda Jengka 1, Abdullah Ani, 66, pula berkata, bonus raya diperlukan oleh peneroka Felda untuk perbelanjaan keperluan Aidilfitri berikutan peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang.
“Sambutan Aidilfitri tahun ini dijangka meriah berbanding tahun lalu berikutan mereka bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19,” katanya.
Ketua Peneroka Felda New Zealand, Wan Ahmad Putra Wan Sulaiman, 59, berkata, warga peneroka masih mengharapkan bantuan khas Aidilfitri sebagai bukti kerajaan dan Felda menghargai sumbangan peneroka terhadap ekonomi negara.
Menurutnya, sumbangan khas Aidilfitri itu membolehkan peneroka menampung perbelanjaan membeli daging segar dan modal duit raya kepada cucu dan kanak-kanak yang berkunjung ke rumah. – UTUSAN











