Dua wanita ditahan bantu kes dera

Dua wanita ditahan bantu kes dera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan dua wanita bagi membantu siasatan kes dera masing-masing melibatkan dua kanak-kanak dan seorang bayi di Seri Kembangan serta Petaling Utama, dekat sini.

Dalam kes pertama Khamis lalu, seorang wanita berusia 26 tahun ditahan selepas dipercayai mendera bayi lelakinya berusia 10 bulan hingga menyebabkan lebam pada beberapa bahagian badan dalam kejadian di Petaling Utama.

Difahamkan, kejadian itu terbongkar selepas suaminya berusia 20-an menyedari kesan kecederaan itu sebelum membawa bayi berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

Sebelum kejadian itu, pasangan suami-isteri itu dikatakan berselisih faham dan tidak bertegur beberapa hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang tidak bekerja itu ditahan selepas polis menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira pukul 12.28 tengah malam.

“Mangsa difahamkan dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di hospital,” katanya semalam.

Sementara itu, polis turut menahan seorang wanita yang disyaki mendera dua kanak-kanak asuhannya berusia empat dan tujuh tahun di kediamannya di Seri Kembangan, Serdang, kelmarin.

Pihak berkuasa menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selasa lalu selepas pengadu menerima aduan berhubung penderaan itu daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, suspek seorang wanita tempatan berusia 24 tahun adalah kenalan kepada ibu mangsa yang bekerja di Singapura.

“Kejadian itu turut tular selepas satu klip video berbahasa Tamil berdurasi dua minit 58 saat memaparkan kecederaan dialami mangsa dimuat naik seorang pengguna TikTok,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dihantar oleh ibu mereka ke rumah suspek sekitar bulan Mac sebelum ke Singapura untuk bekerja.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×