Amirudin optimis Selangor sumbang 30% kepada KDNK

Amirudin optimis Selangor sumbang 30% kepada KDNK

AMIRUDIN Shari merasmikan majlis pecah tanah Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick KLIA,Sepang. semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan Negeri Sela­ngor yakin prospek ekonomi negeri itu mampu menyumbang lebih suku daripada keseluruhan bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari malah dalam nada optimis berkata, kadar pertumbuhan negeri ter­sebut berupaya mencecah 30 pe­ratus KDNK negara.

Keyakinan tersebut ujarnya, berdasarkan unjuran terkini selepas beliau membentangkan pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS1) pada 2 Ogos tahun lalu.

“Bayangkanlah kalau kerajaan negeri tidak buat apa-apa pun, setiap tahun kita masih lagi boleh catat kenaikan signifikan 0.2 sehingga 0.5 peratus,” katanya pada sidang akhbar.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis pecah tanah Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) oleh firma NCT Group di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick KLIA, di sini semalam.

Projek hartanah bersepadu kawasan perindustrian terurus yang pertama di Malaysia itu meliputi keluasan hampir 300 hektar dengan nilai pembangunan kasar lebih RM8 bilion.

Ia mengandungi tiga fasa dengan tempoh 10 tahun dan terletak dalam zon pertumbuhan rantau baharu yang dikenali Wilayah Pembangunan Integrasi Selangor Selatan (IDRIIS).

RS1 yang bermula 2021 sehingga 2025 telah diluluskan secara kutipan suara majoriti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan nilai RM212.4 bilion.

Mengulas lanjut, Amirudin mengulangi apa yang dijelaskannya akhir tahun lalu mengenai trend positif ekonomi nege­ri berkenaan berdasarkan trek rekod lebih lima tahun lepas.

“Sejak 2018, Selangor sudah menyumbang lebih 20 peratus daripada KDNK Malaysia malah pada 2021, kita bangga catat sejarah rekod tertinggi iaitu 24.8 peratus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×