Pengambilan pelajar perubatan tidak terjejas - Utusan Malaysia

Pengambilan pelajar perubatan tidak terjejas

Isu doktor kontrak yang belum diselesaikan tidak menjejaskan pengambilan pelajar perubatan di universiti-universiti awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak akan mengurangkan pengambilan pelajar perubatan walaupun isu doktor kontrak belum mampu diselesaikan sepenuhnya.

Malaysia kini bukan sahaja menjadi destinasi ‘pelancongan perubatan’ tetapi pilihan untuk pelajar-pelajar dari negara luarmelanjutkan pengajian dalam pelbagai program termasuk perubatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Prof. Dr. Harmy Mohamed Yusoff berkata, pusat pengajian itu akan terus mempertingkatkan pengambilan pelajar perubatan mengikut kuota yang ditetapkan.

Menurut beliau, ini kerana negara masih lagi kekurangan pakar perubatan dan belum mencapai jumlah nisbah antara bilangan pesakit dan doktor.

Oleh itu, kata Harmy, pada tahun ini UNISZA mengambil 60 pelajar baharu bagi memenuhi kuota pengambilan kursus perubatan dalam setahun.

“Lambakan doktor kontrak di negara ini, kebanyakannya membabitkan graduan perubatan yang belajar di luar negara dan dilahirkan institusi-institusi swasta.

“Bila pelajar perubatan yang balik dari luar negara berkhidmat di tanah air maka kerajaan menjadikan mereka sebagai doktor pelatih,cuma sekarang ini kerajaan membuat kontrak terhadap mereka,” kata beliau semalam.

TULAR

Bagaimanapun, kata beliau, isu doktor kontrak yang tular memang mengrisaukan pelajar perubatan kerana mereka menjangka peluang pekerjaan dalam bidang tersebut tipis selain akan mewujudkan persaingan untuk mendapatkan jawatan tetap

“Sejak masalah doktor kontrak tular, banyak institusi pengajian swasta yang menawarkan program perubatan mengalami kekurangan pelajar.

“Ini kerana belajar dalam bidang perubatan memerlukan penajaan besar seperti yuran pengajian yang mahal tetapi tidak ada jaminan pekerjaan tetap,maka mereka tidak berminat untuk mengambil kursus perubatan,” kata beliau.

Selain itu, kata Harmy, baru-baru ini,Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut tidak lagi menaja pelajar perubatan di universiti-universiti tempatan.

“Perkara ini dilihat memberi tekanan kepada para pelajar untuk mencari inisiatif lain bagi mendapatkan tajaan atau pinjaman kewangan untuk pengajian mereka,” ujarnya.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Professor Dr. Asri Said berkata, dengan masalah dihadapi doktor kontrak, Malaysia berkemungkinan berdepan kekurangan doktor pakar pada 2030.

KONTRAK

“Perkara ini merisaukan dan jika mereka sudah tamat kontrak di hospital awam, berkemungkinan mereka akan beralih ke hospital swasta atau bekerja di negara lain untuk mendapatkan gaji setimpal dengan skop kerja dimiliki.

“Dengan tiada jawatan tetap, ini menyukarkan mereka untuk menjadi pakar kerana untuk menjadi pakar perubatan mereka perlu ada Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk menyambung belajar,” katanya.

Kata Asri, nisbah doktor dan pesakit di negara ini pada tahun lepas adalah seorang doktor perlu merawat 240 pesakit, manakala di Sarawak yang mempunyai bilangan populasi lebih ramai seorang doktor perlu merawat 700 pesakit.

“UNIMAS berusaha untuk melahirkan lebih ramai doktor, disebabkan negara masih lagi kekurangan doktor,” kata beliau.

Malah, kata beliau, UNIMAS akan terus mengambil pelajar perubatan mengikut kuota ditetapkan iaitu 150 pelajar dalam setahun.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Abdul Halim Abdul Ghafor pula berkata, UKM juga tidak akan mengurangkan pengambilan pelajar bagi kursus perubatan.

PELUANG

“Ini kerana, peluang pekerjaan dalam bidang tersebut masih lagi cerah dan mendapatkan keperluan yang tinggi,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, semua IPT perlu mendapatkan persetujuan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada mahu menawarkan program baharu berkaitan perubatan atau melupuskan terus setiap program sedia ada.

Menurut beliau, MQA tidak ada kuasa ‘mutlak’ dalam menentukan perkara tersebut sebaliknya bertindak sebagai fasilitator dalam menjaga kualiti program perubatan.

Kata beliau, sekiranya IPT ingin menawarkan program baharu dan memerlukan diakreditasikan oleh MQA, mereka perlu mendapatkan persetujuan terlebih dahulu daripada MMC bagi mengelakkan memberi kesan kepada bakal graduan.

“Dalam konteks program perubatan, MQA hanya boleh melihat dari segi tenaga pengajar, fasiliti dan sebagainya. Ini kerana ia berkait rapat dengan MMC yang mengawal selia kursus tersebut.

“Sekiranya MQA tetap memberikan kebenaran tanpa diberi pengiktirafan oleh MMC, maka sekiranya program itu dilaksanakan akan menyebabkan bakal graduan-graduannya tidak dapat diterima untuk bekerja di Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

DESTINASI

Kata Mohammad Shatar lagi, Malaysia bukan sahaja menjadi destinasi ‘pelancongan perubatan’ tetapi juga pilihan untuk melanjutkan pendidikan tinggi dalam pelbagai program termasuk perubatan.

Oleh itu, menurut beliau, sistem perubatan negara sudah diiktiraf di peringkat dunia dan secara langsung menandakan kualiti pendidikan di Malaysia di tahap yang bagus.

“Sebenarnya, permintaan untuk melanjutkan pelajaran ke dalam bidang perubatan adalah sangat luar biasa. Kita tidak menghadapi masalah ketiadaan pelajar tetapi adalah kerana tiada tempat.

“Saya berpendangan, satu dunia akan memilih Malaysia untuk melanjutkan pendidikan dalam program perubatan sekiranya kita buka,” katanya.

Kata beliau, pemansuhan mana-mana program pendidikan di IPT termasuk perubatan tidak melambangkan kualiti tetapi ia lebih kepada permintaan.

“Pemansuhan tidak ada kena mengena dengan kualiti program, memang perlu lakukan perubahan dari masa ke semasa kerana kadang-kadang ada kursus yang popular 10 tahun lepas tetapi hari ini tidak ada permintaan.

“Jadi apabila situasi itu berlaku, kenapa perlunya kita tawarkan lagi. Lebih baik IPT mansuhkan program tak popular itu bagi mengelakkan pembaziran kos dan tenaga kerja,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×