Selangor Jelapang Padi baharu? - Utusan Malaysia

Selangor Jelapang Padi baharu?

Petani di Kedah dan Perlis kini bimbang ura-ura kenaikan upah tuai sehingga RM200.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: Selangor boleh menggantikan Kedah sebagai negeri Jelapang Padi terutama jika pengeluaran padi negeri itu terus berkurangan termasuk selepas kehilangan kira-kira 35,000 hektar sawah yang ditukar kepada pemba­ngunan insfrastruktur, komersial dan perumahan.

Walaupun keluasan sawah padi di Selangor hanya 18,480 hektar berbanding Kedah yang difahamkan 100,685 hektar, negeri ini mempunyai kelebihan dari segi pengeluaran padi lebih banyak.

Menurut sumber yang terlibat dalam industri padi, bendang di negeri ini pernah menghasilkan sebanyak 6.35 tan metrik padi bagi setiap satu hektar pada 2015 berbanding Kedah hanya kira-kira tiga tan metrik bagi setiap hektar.

“Bukan mudah menghasilkan padi dan setiap negeri mempunyai cabaran berbeza setiap musim. Di Selangor antara isu yang sering dihadapi adalah penyakit dan angin, namun semuanya dapat diatasi.

“Keluasan sawah tidak menjamin mampu menghasilkan pengeluaran padi yang banyak. Selangor sentiasa berada antara empat teratas dalam pengelua­ran padi dan kini pengeluaran kira-kira empat tan metrik susulan sawah padi diserang penyakit.

“Malah, sistem perparitan di Selangor sentiasa dijaga baik dengan diselenggara Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Barat Laut Selangor yang mengendalikan kawasan sawah padi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, sumber tersebut tidak menafikan ada tanah sawah padi yang tidak digunakan untuk tanaman padi, namun jumlahnya sedikit.

Kebiasaannya selepas musim menuai, petani menghentikan sementara proses penyediaan tanah dengan menanam tanaman lain seperti sayuran antaranya cili, kacang dan jagung malah, ada juga yang mendirikan inap desa tetapi jumlahnya kecil.

“Bagaimanapun, sepanjang tidak menanam padi, mereka tidak mendapat subsidi yang disediakan kerajaan dan semuanya dipantau Pertubuhan Peladang Kawasan,” ujarnya.

Tambah sumber, Selangor kini dalam usaha menghasilkan padi yang lebih berkualiti de­ngan menetapkan satu jenis beras sahaja.

Katanya, satu blok sawah mempunyai kira-kira 40 hingga 50 lot dengan setiap blok terdiri daripada lima hingga enam jenis beras.

“Apabila terdapat pelbagai jenis beras, tindakan untuk mengawal penyakit agak sukar dan memberi kesan kepada pengeluaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×