Naik taraf PTPTN sebagai BSPN

Naik taraf PTPTN sebagai BSPN

SUDAH tiba masanya juga kerajaan memikirkan bagaimana boleh menaik taraf PTPTN sebagai Bank Simpanan Pendidikan Negara (BSPN) demi perkhidmatan dan manfaat lebih menyeluruh kepada anggota masyarakat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENABUNG untuk masa depan pendidikan anak-anak dilihat semakin menjadi satu keperluan penting ketika ini kerana kos perbelanjaan dan sara hidup untuk belajar di universiti baik awam mahupun swasta semakin meningkat. Bayangkan, bagaimana sukarnya untuk anak-anak kita meneruskan pengajian ke menara gading dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang kerana pastinya kos pada ketika itu jauh lebih tinggi dari sekarang.

Justeru, setiap ibu bapa tidak mempunyai banyak pilihan selain perlu menabung dari sekarang atau lebih tepat lagi sejak anak kita dilahirkan. Dalam konteks ini, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang ditawarkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat antara yang terbaik dan menjadi pilihan ramai ibu bapa.

Itulah sebabnya ramai terkejut apabila kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN mulai Tahun Taksiran 2023. Sebelum ini, selain digunakan sebagai tabungan jangka panjang, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan kerajaan ini dilaporkan berdasarkan beberapa justifikasi, iaitu terdapat tambahan senarai pelepasan cukai dan potongan cukai individu termasuk pengurangan sebanyak dua peratus ke atas cukai pendapatan individu, pelepasan cukai perbelanjaan perubatan ditingkatkan dari RM8,000 ke RM10,000 dan pelepasan lain. Insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan SSPN bagi 2023 juga tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.

Mujur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang prihatin dan cakna dengan rungutan serta keresahan rakyat segera membatalkan keputusan tersebut sekali gus bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai sehingga 2024. Dilaporkan pelanjutan pelepasan cukai itu memberi manfaat kepada hampir 400,000 pembayar cukai dalam kategori T20 dan M40 serta mengurangkan hasil kerajaan sebanyak kira-kira RM250 juta setahun.

Ironinya, dalam soal masa depan pendidikan anak-anak, kita tidak boleh melihat kategori kelas pendapatan serta kehilangan hasil kepada negara semata-mata sebaliknya perlu menyediakan lebih banyak kemudahan dan insentif untuk menggalakkan rakyat menabung demi pendidikan generasi masa depan.

Hakikatnya, penyimpanan SSPN ini perlu dilihat dalam konteks lebih besar yakni berfokus kepada galakan untuk rakyat menyimpan bagi menampung kos perbelanjaan pendidikan anak-anak. Justeru, penyimpanan secara bulanan mengikut kemampuan melalui SSPN boleh meringankan masalah kewangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) ketika anak mereka ingin melanjutkan pengajian.

Secara prinsipnya, kita tidak boleh melihat SSPN digunakan sebagai alat untuk mengurangkan pembayaran cukai, sebaliknya majoriti kelompok B40 dan M40 yang memiliki bilangan anak ramai menggunakan SSPN sebagai bank tabungan pendidikan demi masa depan mereka.

Tuntasnya, simpanan berbekalkan semangat simpan setiap bulan secara konsisten sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit, akhirnya dapat mengurangkan beban pukal ibu bapa.

Harus diingat, melalui skim patuh syariah dan dijamin kerajaan ini selain insentif pelepasan cukai, banyak lagi manfaat diperoleh oleh pencarum termasuk menikmati dividen yang kompetitif. Rakyat akan kehilangan segala manfaat ini jika bertindak berhenti daripada mencarum, manakala negara juga boleh kehilangan bakat apabila ada kemungkinan anak-anak cemerlang tidak dapat melanjutkan pelajaran.

Ironinya, antara objektif utama kerajaan menubuhkan PTPTN adalah untuk memastikan tiada pelajar tercicir untuk melanjutkan pengajian di menara gading kerana kekangan kewangan. Menyahut seruan ini, sejak ditubuhkan pada 1997, PTPTN dilihat sangat komited, kreatif dan proaktif dalam memperkenalkan pelbagai produk simpanan baharu sebagai inisiatif untuk menggalakkan orang ramai menabung demi masa depan pendidikan anak.

Boleh dikatakan kini PTPTN sedang berperanan sebagai bank simpanan pendidikan yang unggul dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa ketika anak mereka melanjutkan pengajian di IPT. Ini berlaku kerana produk simpanan yang ada membolehkan ibu bapa memulakan simpanan seawal usia satu hari kelahiran anak dan boleh menyimpan sehingga anak bersedia untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Malah, sejak dua tahun kebelakangan ini, PTPTN dilihat sangat komited dalam menjalankan pelbagai promosi, kempen dan hebahan menyeluruh mengenai kepentingan penabungan melalui SSPN sekali gus menzahirkan peranan agensi ini sebagai tabung pendidikan tinggi negara yang mempunyai misi jelas untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai simpanan tanpa bergantung kepada pinjaman semata-mata.

Justeru, kerajaan sewajarnya terus menggalakkan rakyat terutama golongan B40 dan M40 menyimpan dalam SSPN dengan memberikan pelbagai lagi insentif tambahan tanpa mengurangkan mana-mana insentif sedia ada.

Selain itu, sudah tiba masanya juga kerajaan memikirkan bagaimana boleh menaik taraf PTPTN sebagai Bank Simpanan Pendidikan Negara (BSPN) demi perkhidmatan dan manfaat lebih menyeluruh kepada anggota masyarakat. Langkah ini akan menambahkan lagi keyakinan rakyat serta meningkatkan bilangan ibu bapa yang menabung untuk masa depan anak mereka.

Tuntasnya, keputusan kerajaan melanjutkan pelepasan cukai ini adalah tepat dan sangat wajar. Justeru, masyarakat perlu terus disedarkan kepentingan menabung serta keperluan membuat perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir di universiti putra malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×