DALAM Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kerusi-kerusi Parlimen dimenangi Perikatan Nasional (PN) kebanyakannya daripada UMNO dan PKR dan sebilangan kecilnya Parti Amanah Negara (Amanah). Antara kerusi tersebut, kerusi perolehan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meningkat daripada 13 kepada 31, manakala Pas bertambah 25 kerusi, iaitu daripada 18 kepada 43. Keputusan dicapai PN amat menyerlah sekali.
Ditinjau secara terperinci, hampir kesemua kerusi dimenangi itu dari kawasan undi majoriti pengundi Melayu. Anggota PN satu lagi, iaitu Gerakan yang bertanding di kawasan campuran pula kecundang sama sekali, bahkan terdapat kerusi kehilangan wang deposit.
Walaupun PN nampaknya sangat berjaya dalam memperoleh sokongan padu pengundi Melayu, namun mereka menghadapi kesukaran untuk memancing undi bukan Melayu.
Dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dijalankan di Melaka dan Johor sebelum PRU15, keputusan menunjukkan PN tidak mendapat sokongan nyata daripada pengundi bukan Melayu.
Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan baharu, dan para penyokong menaruhkan harapan tinggi terhadap reformasi yang ingin dilancarkan oleh kerajaan baharu itu. Akan tetapi, Bersatu yang merupakan salah satu anggota PH pada masa itu telah mengundurkan diri dari PH setelah 22 bulan pemerintahan, mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH.
Berikutnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai Bersatu, Pas, parti-parti di Sabah dan Sarawak serta Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan PN, mengambil alih pentadbiran kerajaan PH.
Kejatuhan kerajaan PH secara mendadak amat menghampakan para pengundi bukan Melayu. Muhyiddin dan Mohamed Azmin dikatakan menjadi penyebab utama kepada kejatuhan kerajaan PH, maka parti pimpinan mereka berdua tentulah sukar untuk mendapat sokongan daripada penyokong PH.
Jelas sekali, PN yang mana Pas dan Bersatu menjadi tonggak utama lebih berpeluang untuk menang di kerusi-kerusi yang mana pengundi Melayu melebihi 60 peratus khususnya di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Dalam PRU15, PN hanya kehilangan satu kerusi di Sungai Petani, Kedah. PN kelihatan mempunyai peluang tipis di kawasan undi campuran dan kawasan undi majoriti pengundi bukan Melayu.
Sebab utama pengundi bukan Melayu tidak menyokong PN ialah haluan perjuangan Bersatu dilihat memihak kepada satu kaum. Tambahan lagi, kritikan tidak bertolak ansur segelintir pemimpin Pas menyebabkan pengundi bukan Melayu tergores hati dan sukar menerimanya. Memandangkan PN mendapat sokongan padu daripada pengundi Melayu, maka PN bersikap acuh tak acuh terhadap undi bukan Melayu. Pendirian PN ini menyebabkan parti komponennya, Gerakan dalam dilema.
Jika PN masih tidak mengubah haluan perjuangan, maka Gerakan sukar untuk mendapat sokongan pengundi bukan Melayu. Bahkan, Gerakan akan kalah teruk di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu.
Sesungguhnya, pengundi bukan Melayu pernah juga menyokong Pas, khususnya pada PRU 2008 dan 2013 ketika Pas di bawah pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun, keadaan berubah setelah berlaku perpecahan dalaman Pas.
Kemudiannya, Mohamad Sabu keluar dari Pas dan membentuk Amanah. Seterusnya, Amanah bersepakat dengan PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat. Semenjak itu, Pas kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu.
Di bawah latar belakang politik sedemikian, mana-mana parti bukan Melayu yang bersepakat dengan PN didapati sukar untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu. Oleh sebab itu, Gerakan tidak menang satu kerusi Parlimen pun semasa PRU15. Gerakan juga dijangka tiada peluang cerah untuk menang di Pulau Pinang pada PRN akan datang, apatah lagi di negeri-negeri lain.
Sejak keluar dari BN pada 2018, Gerakan payah untuk berdikari. Pada 2021, ketika Muhyiddin masih memegang jawatan Perdana Menteri, Presiden Gerakan, Dominic Lau menyertai PN secara profil tinggi dengan harapan untuk menghidupkan semula partinya.
Dalam PRU15, PN tidak berjaya membentuk Kabinet disebabkan ahli-ahli Parlimen BN tersekat oleh undang-undang lompat parti untuk menyebelahi PN. Selain itu, kegagalan Gerakan memperoleh sebarang kerusi dalam PRU turut menjadi penyebabnya.
Matlamat asal PN menerima kemasukan Gerakan dengan harapan parti itu dapat meraih beberapa kerusi dari kawasan majoriti pengundi bukan Melayu. Akan tetapi, Gerakan kelihatan sama sekali tidak memenuhi harapan PN. Sehubungan ini, Gerakan mungkin dilucutkan daripada PN kalau mereka tidak menunjukkan apa-apa prestasi dalam PRN akan datang, malah Gerakan mungkin akan lesap terus di arena politik Malaysia.
Sesungguhnya, Gerakan tidak progresif akibat hilang banyak sokongan sumber politik semenjak keluar dari BN pada 2018. Tambahan lagi, Gerakan kekurangan pemimpin berkaliber dan matlamat perjuangannya juga menjadi semakin kabur. Akibatnya, masyarakat bukan Melayu semakin menjauhi parti ini.
Di bawah gagasan PN, Gerakan berkeyakinan tinggi dengan beranggapan partinya tidak perlu lagi berkongsi kerusi-kerusi dengan MCA (BN) di kawasan undi Cina. Akan tetapi, kritikan terburu-buru Bersatu terhadap masyarakat bukan Melayu baru-baru ini mencetuskan ketidakpuasan yang hebat. Gerakan pula tidak terjawab dalam isu ini. Gerakan juga kelihatan tidak mampu mencapai kata sepakat yang tinggi dengan PN, dan pergabungan gagasan PN kelihatan semata-mata untuk tujuan memang dalam pilihan raya sahaja.
Persoalannya, apakah perbezaan kedudukan Gerakan sekarang dengan kedudukannya yang dipinggirkan oleh parti utama dalam gagasan BN pada suatu masa dahulu?-UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.











