MENJUAL kopi Vietnam di tepi jalan Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor pada hujung minggu adalah detik permulaan kepada Blend Coffee Roasters yang kini sudah mempunyai sebuah kilang memanggang kopi dan tiga cawangan kafe yang menjual minuman dan biji kopi secara runcit.
Daripada perniagaan kecil-kecilan pada 2015 itulah graduan Teknologi Maklumat (IT) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhd Aizuddin Abdul Manap, 35, dan isterinya, Nor Fariza Yahya, 35, daripada jurusan sama di Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengumpul modal sehingga memiliki kilang sendiri pada 2021.
Malah, sebelum memiliki kafe dan kilang sendiri, pasangan yang juga bekerja dalam bidang IT itu tidak mensia-siakan masa terluang mereka dan sudah mula memangggang biji kopi di rumah dan menjualnya di platform atas talian.
Oleh kerana permintaan semakin bertambah, pasangan tersebut menyewa kedai pertama mereka di Sungai Ramal, Kajang pada 2019 bagi menampung kapasiti yang semakin meningkat.
Muhd Aizuddin berkata, fokus mereka bukan sekadar menjual kopi malah menyediakan biji kopi yang dipanggang dan segar kepada pelanggan.
Beliau yang menjual kopi jenis Arabica sentiasa menjaga tarikh biji kopi dipanggang supaya pelanggan dapat membeli biji kopi baharu.
“Kami akan pastikan kopi yang dijual di cawangan tidak lebih sebulan dari tarikh biji kopi itu dipanggang. Ini dapat memastikan kopi yang diterima masih segar dan sedap apabila diminum,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Bandar Baru Bangi, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pekerja-pekerja di cawangan dilengkapkan dengan pengetahuan mengenai biji kopi yang dijual supaya mereka dapat memberi cadangan yang sesuai kepada pelanggan.
“Strategi pemasaran kami adalah peminat-peminat kopi baharu yang kurang pengalaman tentang kopi tetapi mempunyai rasa ingin tahu.
“Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2020 dahulu, permintaan terhadap kopi meningkat dan memberangsangkan.
“Ketika itu, kami menyaksikan kemunculan kedai-kedai kopi yang menyumbang kepada peningkatan jualan biji kopi kami sehingga 500 peratus pada 2020,” jelasnya.
Bapa kepada seorang anak perempuan berusia enam tahun itu berkata, mereka mengimport biji kopi dari pelbagai negara seperti Brazil, Colombia, Ethiopia dan Indonesia.
Menurut Muhd Aizuddin, kapasiti pengeluaran ketika ini sebanyak empat tan biji kopi sebulan dan beliau berharap dapat meningkatkannya kepada lapan tan dalam masa setahun akan datang.
“Kami dalam proses untuk mendapatkan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan halal yang dijangka diperoleh menjelang akhir tahun ini.
“Dengan adanya pensijilan tersebut, kami menyasarkan untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran sehingga lapan tan sebulan,” ujarnya.
Tambahnya, Blend Coffee Roasters yang turut mempunyai cawangan di Seksyen 9 Bangi dan Bukit Jelutong Shah Alam, bercadang menambah sebuah lagi cawangan di Shah Alam dalam masa terdekat. – UTUSAN










