PETALING JAYA: Penjualan tanah bendang bukanlah dibuat secara sesuka hati, sebaliknya pesawah terbabit ada sebab munasabah berbuat demikian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, sesetengah pesawah menganggap mengusahakan bendang tidak sepadan dengan pendapatan diraih mereka.
“Kos mengerjakan sawah bukannya murah. Satu hektar memerlukan antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk sewa jentera, mengupah pekerja dan membeli benih padi, baja serta racun. Pulangan yang setimpal memerlukan pengeluaran padi sehingga 7 tan, tetapi kalau kurang daripada itu rugilah kami.
“Malah, kami tidak mendapat banyak insentif dan subsidi terutamanya ketika berlaku bencana, menyebabkan kami langsung tak dapat hasil. Sebab itu, ada pesawah yang hilang motivasi untuk mengusahakan bendang,” katanya.
Abdul Rashid mendakwa, satu lagi faktor bendang dijual kerana kerajaan negeri dilihat lebih mementingkan projek perumahan daripada memelihara sawah bagi menaikkan pengeluaran beras tempatan.
“Pemaju pilih bangunkan tanah sawah kerana nilainya lebih murah, tetapi siapa yang membenarkan pindah milik berlaku? Ada dalam kalangan pesawah menganggap kerajaan negeri lebih pentingkan projek perumahan, ada yang dibina di lokasi tidak sesuai tetapi tetap dibangunkan.
“Sebab itu apabila melihat situasi ketika ini, ada pesawah yang sanggup pajak tanah atau jual sahaja bendang mereka, ada yang kata buat apa susah-susah kerjakan bendang? Lebih baik baik jadi jaga,” katanya.
Justeru, Abdul Rashid menggesa kerajaan memperketatkan proses tukar milik tanah supaya bendang tidak hilang dan akhirnya rakyat terpaksa bergantung kepada beras import.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu gazetkan tanah bendang yang berpotensi tinggi untuk pengeluaran padi, sebab kalau hilang bendang, hilanglah pengeluaran beras tempatan. Malah, jawatankuasa khas menguruskan tanah bendang perlu ditubuhkan dan mempunyai wakil petani.
“Memang ada yang fikir jual sahaja tanah bendang lagi untung, tapi kami tetap mahu mempertahankan tanah bendang, jelapang padi negara. Andai kata negara ada krisis bekalan makanan, kita akhirnya perlu bergantung kepada pengeluaran beras tempatan,” katanya. – UTUSAN











