SHAH ALAM: Lebih empat kali pencarian dilakukan polis di banglo milik bekas personaliti sebuah stesen televisyen swasta, Zalina Azman yang dilaporkan hilang November 2021 tetapi tidak menemui pertunjuk baharu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kali terakhir carian dibuat sekitar hujung tahun lalu dengan pelbagai kaedah termasuk bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan.
“Seingat saya, lebih empat kali pencarian dilakukan polis dekat rumah Zalina. Kali terakhir hujung tahun lepas. Kita sudah buat carian dengan bantuan forensik, anjing pengesan dan pelbagai kaedah lain.
“Polis pun akan cuba untuk melihat kaedah-kaedah lain dan jika ada perkembangan positif, baru saya kongsikan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Terdahulu, beliau memaklumkan kes penemuan mayat tanpa identiti di seluruh negara setakat ini didapati bukan milik bekas pembaca berita, Zalina, 59.
Menurut beliau, polis turut bekerjasama dengan semua kontinjen negeri bagi mengenalpasti identiti mayat individu termasuk penelitian itu melibatkan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa oleh Jabatan Kimia yang diperoleh polis sebelum ini.
Selain itu, polis mengesahkan tiada pergerakan keluar negara dilakukan Zalina berdasarkan maklumat daripada Jabatan Imigresen Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memaklumkan tiada individu atau saksi terkini yang tampil memberikan maklumat.
Katanya, setakat ini lebih 20 individu termasuk ahli keluarga, rakan dan pekerja kontraktor diambil keterangan oleh polis.- UTUSAN










