Sasar nilai jualan syarikat jualan langsung RM30 bilion

KPDN sasar nilai jualan syarikat jualan langsung RM30 bilion menjelang 2028

SALAHUDDIN Ayub menyampaikan Geran Kajian, Pembangunan dan Pengkomersilan (R&D&C) kepada wakil dari syarikat jualan langsung di KPDN, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mensasarkan peningkatan RM30 bilion bagi nilai jualan syarikat jualan langsung menjelang tahun 2028.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, industri jualan langsung di negara ini perlu bergerak pantas untuk mencapai angka tersebut dalam masa lima tahun kerana ia menjadi sumbangan yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pada tahun 2021, nilai jualan yang direkodkan mencecah RM27 bilion, justeru KPDN unjurkan dalam masa lima tahun industri tersebut boleh mencapai RM30 bilion, itu sasarannya dan kita akan sentiasa memantau syarikat-syarikat jualan langsung ini supaya mereka terus maju ke hadapan.

“Industri ini sebenarnya sangat berpotensi untuk mereka yang tidak mahu bekerja pada waktu pejabat, dihambat masa atau tersekat dalam kesesakan. Ini kerana dalam segmen ekonomi gig, mereka boleh menggunakan jualan langsung sebagai satu medium untuk meraih pendapatan yang lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media selepas menyampaikan geran kajian, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C) Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung kepada lapan syarikat dan badan berkanun di sini, hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan sebanyak 14 syarikat jualan langsung menerima lesen baharu dan 54 syarikat menerima lesen pembaharuan.

Justeru, Salahuddin berharap dengan pemberian geran tersebut ia dapat meningkatkan dan memajukan industri jualan langsung serta membantu syarikat mengkomersilkan produk mereka.

“Kita dapati sebelum ini terdapat kira-kira 400 syarikat jualan langsung dan hanya 18 peratus sahaja daripada jumlah tersebut merupakan syarikat asing. Oleh itu, kita mahu syarikat-syarikat tempatan yang berjaya dalam bidang jualan langsung ini terus maju ke hadapan terutamanya dalam bidang kecantikan, kosmetik dan kesihatan yang menghasilkan produk-produk herba, vitamin serta makanan tambahan.

“Sekiranya KPDN sudah keluarkan lesen, maknanya pelanggan tak perlu bimbang tentang kualiti kerana dalam jawatankuasa tersebut terdapat wakil daripada KKM (Kementerian Kesihatan) untuk beri kelulusan dan produk yang kita berikan lesen sudah melalui proses tapisan yang ketat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Salahuddin memaklumkan KPDN akan mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFS) bagi meneliti tentang isu kenaikan harga ayam.

“Kedua-dua kementerian akan mengadakan pertemuan sebab rantaian bekalan di peringkat ‘upstream’ mesti disemak oleh MAFS dan kami adalah di peringkat ‘downstream’ iaitu menentukan dan mengawal harga serta keberadaan di pasaran.

“Setakat minggu lalu, KPDN terima data daripada Jabatan Veterinar (mengenai) bekalan sehingga hari raya adalah stabil dan mencukupi. Ini kerana ada desas desus beberapa hari ini (tentang harga ayam) jadi kedua-dua kementerian adakan pertemuan untuk periksa secara tuntas dan mungkin kita boleh umumkan esok apa hasil pertemuan ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×