Petronas Dagangan lancar program sukuk sehingga RM10 bilion 

Petronas Dagangan lancar program sukuk sehingga RM10 bilion 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Dagangan Bhd. (PetDag) menerbitkan program sukuk wakalah untuk mengumpul dana bagi pelaburan, perbelanjaan modal, keperluan modal kerja dan pembiayaan semula pinjaman sedia ada atau pembiayaan masa hadapan.

PetDag dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia berkata, pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkaitan program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan Kertas Komersial Islam (ICP) dengan had agregat gabungan sehingga RM10 bilion dalam nilai nominal berdasarkan prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

“ICP akan mempunyai tempoh tujuh tahun dari tarikh terbitan pertama dan tempoh setiap ICP yang dikeluarkan di bawah program ini adalah antara sebulan dan 12 bulan.

“Sementara itu, IMTN mempunyai tempoh program yang berterusan. Setiap IMTN boleh dikeluarkan dengan tempoh sekurang-kurangnya satu tahun dari tarikh dikeluarkan.

“Program sukuk wakalah adalah tidak bercagar dan MARC Ratings Berhad telah menetapkan penarafan awal jangka pendek dan jangka panjang MARC-1(IS) dan AAA(IS) dengan pandangan yang stabil kepada Program ICP dan Program IMTN,” katanya.

Maybank Investment Bank Bhd. ialah penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal dan pengurus utama, manakala Maybank Islamic Bhd. adalah penasihat syariah untuk program tersebut.

Pada rehat tengah hari semalam, harga saham PetDag menokok 12 sen atau 0.58 peratus kepada RM20.98, memberikannya permodalan pasaran RM20.84 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×