KUALA LUMPUR: Pendapatan bersih selepas cukai Bank Negara Malaysia (BNM) merosot hampir 50 peratus kepada RM7 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 daripada RM12.80 bilion tempoh sama tahun 2021.
Menurut Laporan Tahunan BNM 2022, bank pusat itu merekodkan pendapatan sebanyak RM8.52 bilion, penurunan daripada RM14.65 bilion tahun sebelumnya.
Bagaimanapun BNM dalam satu kenyataan memaklumkan, kedudukan kewangannya kekal stabil pada tahun 2022 seperti yang diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara.
Katanya, jumlah aset BNM sehingga 31 Disember 2022 berjumlah RM619 bilion berbanding RM488.04 bilion tahun sebelumnya.
“Keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM7 bilion dicatatkan bagi tahun kewangan itu dan daripada jumlah ini, sebanyak RM4.2 bilion telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM.
“BNM telah mengumumkan dividen sebanyak RM2.8 bilion kepada Kerajaan untuk tahun kewangan 2022,” katanya. – UTUSAN










