MBSB Bank bantu mangsa banjir di Johor

MBSB Bank bantu mangsa banjir di Johor

NOR Azam M. Taib (tiga kanan) menyampaikan sumbangan MBSB Bank untuk mangsa banjir di Johor kepada MyCARE, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prihatin de­ngan keadaan mangsa-mangsa banjir di Johor, MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM100,000 bagi meringankan beban mereka.

Sumbangan akan diserahkan kepada mangsa banjir di Johor Bahru, Batu Pahat, Segamat, Muar, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Pontian dan Kulai menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib kepada Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Saharul Anwar di Menara MBSM Bank, PJ Sentral pada 23 Mac lalu.

Nor Azam berkata, Kumpulan memahami bahawa banjir yang melanda bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan dan kehilangan harta benda, malah ia turut memberi tekanan perasaan dan trauma kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

“Adalah harapan kami menerusi kerjasama dengan MyCARE yang mempunyai sumber untuk mengenal pasti keluarga yang terkesan, ianya akan dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir dalam melangsungkan kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, MBSB Bank juga telah menyumbang 550 paket makanan asas dan kit penjagaan diri melalui program ‘Box Of Care’ kepada mangsa banjir di Muar, Segamat dan Batu Pahat Johor melalui kolaborasi bersama Food Aid Foundation pada 3,9,10 dan 23 Mac lalu.

Terdahulu, MBSB Bank telah menyalurkan sumbangan makanan asas melalui Program ‘Box of Care’ kepada 300 orang penduduk di PPR Kota Bharu pada Disember 2022. Manakala pada Januari 2023, sumbangan ‘Box of Care’ turut disampaikan kepada 150 orang mangsa banjir di daerah-daerah Kota Bharu, Pasir Puteh dan Pasir Mas.

“MBSB Bank mengambil berat terhadap pembangunan serta keperluan masyarakat setempat dan komitmen ini dizahirkan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat berlandaskan empat teras utama iaitu Komuniti, Pendidikan, Alam Sekitar dan Tempat Kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×