SIK: Seorang pemilik rumah tidak menyangka sepeninggalan mereka sekeluarga untuk berbuka puasa di rumah pusaka bapanya berakhir dengan tragedi apabila rumah mereka hangus terbakar dalam kebakaran di Kampung Teloi Tua, petang semalam.
Mohd. Zarani Abu Seman, 47, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Fazida Yahaya, 47, dan dua anak mereka sedang berbuka puasa di rumah pusaka bapa mereka didiami oleh adiknya, Suhaila Abu Seman, 43, yang jaraknya hanya dua kilometer dari kediaman mereka.
“Kami ke rumah pusaka pada pukul 7.25 petang untuk berbuka puasa, kemudian pada pukul 7.50 malam, saya pulang seorang dahulu ke rumah untuk menunaikan solat Maghrib, namun terkejut apabila ternampak api sedang marak membakar rumah.
“Saya lihat api datang dari sebuah pondok menyimpan barang yang ada berhampiran rumah dan menyambar di bahagian hadapan rumah serta bilik utama. Saya segera menghubungi isteri, adik dan jiran-jiran kampung untuk membantu memadam api,” katanya ketika ditemui.
Menurut Mohd. Zarani, rumah yang mereka diami itu jauh daripada jiran menyebabkan tiada siapa yang menyedari berlakunya kebakaran itu.
Katanya, mereka segera menghubungi Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Pasukan Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) untuk membantu memadam api tersebut, namun api marak terlalu cepat.
“Kami tidak sempat menyelamat barangan rumah atau pun dokumen-dokumen penting, baju-baju baharu untuk anak-anak dan isteri sambut Hari Raya Aidilfitri nanti dan juga pakaian serta alatan persekolahan anak-anak turut musnah terbakar.
“Kami tinggal sehelai sepinggang, mujur ketika kejadian kami berada di luar rumah dan dua anak lagi berada di luar kerana masih belajar di institut pengajian tinggi (IPT),” katanya yang reda dengan nasib dan ujian yang menimpa mereka sekeluarga ketika bulan Ramadan.
Sementara itu, Pengerusi BSYJM, Mahadzir Abdul Hamid berkata, operasi pemadaman diketuai oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik serta dibantu BSYJM yang berpengkalan di Kampung Tala, Jeneri.
“Pasukan BSYJM yang menerima panggilan kecemasan pukul 8.03 malam telah mengatur gerak pasukan ke lokasi dengan kekuatan lapan anggota dan sebuah jentera.
“Operasi pemadaman menggunakan pam mudah alih bagi mendapatkan bekalan air dari parit berhampiran memandangkan kawasan kebakaran tidak memiliki paip Syarikat Air Darul Aman (SADA) selain tiada pili bomba,” katanya.
Tambah beliau, operasi pemadaman hanya berjaya diselesaikan sepenuhnya kira-kira pukul 10 malam dan faktor kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba. – UTUSAN











