Hasrat hias rumah sambut Aidilfitri tak kesampaian, maut dalam kemalangan

Hasrat hias rumah sambut Aidilfitri tak kesampaian, maut dalam kemalangan

KEADAAN kenderaan yang terlibat kemalangan meragut nyawa Maimunah Shaban di Kilometer 78.6 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, berhampiran Kampung Parit Haji Ayer Baloi, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Hasrat seorang wanita menghias rumah dengan pelbagai jenis bunga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 78.6 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, di sini kelmarin.

Anak wanita itu, Norafidah Mahmud, 32, berkata, kejadian selepas Zohor itu berlaku ketika ibunya, Maimunah Shaban, 61, dalam perjalanan ke Bandar Pontian bersama adiknya, Khairul Anas Mahmud, 25, dan anak adiknya, Danee Eryana Norafandi, 4, untuk membeli tanah bagi menanam pelbagai jenis pokok bunga.

Bagaimanapun, Norafidah yang bekerja sebagai Pegawai Kualiti di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berkata, tidak lama selepas keluar rumah, seorang lagi adiknya iaitu Khairul Azim yang menghubungi Khairul Anas mengetahui mereka terlibat dalam kemalangan.’

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adik (Khairul Anas) baru menghadiri kursus robotik di Johor Bahru dan terus balik ke rumah emak pada hari Rabu. Saya baru balik pada malam Khamis dari Gelang Patah, Johor Bahru.

“Pada malam sebelum tragedi itu, emak bangun memasak makanan untuk sahur pada malam pertama dengan lauk ayam dan sayur kentang untuk kami enam beranak makan. Arwah juga ada menyatakan mahu menghias rumah rumah dengan pelbagai jenis bunga sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah keluarganya di Kampung Parit Gantung, Sanglang, di sini semalam.

Arwah ibunya itu tinggal bersama dua adiknya, Khairul Azmi, 28, dan Amar Khatib, 21, selepas bapanya, Mahmud Sadek meninggal dunia pada tahun 2013.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan berhampiran Kampung Parit Haji Ayer Baloi itu melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda.

Kejadian tersebut menyebabkan Maimunah yang duduk di tempat penumpang hadapan yang dipandu Khairul Anas meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dia bahagian kepala.

“Khairul Anas dan Danee Eryana Norafandi (cucu arwah) mendapat kecederaan parah di bahagian tangan, kaki serta badan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohammad Shofee berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda dari arah Pontian menghala ke Batu Pahat hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kereta yang dipandu oleh Khairul Anas.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda mengalami kecederan parah di bahagian badan dan tangan turut menerima rawatan lanjut di HSA dan empat penumpang di dalamnya semua warganegara Indonesia menerima rawatan di bahagian kecemasan Hospital Pontian,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN