Hukuman sebat kekal atau hapus? - Utusan Malaysia

Hukuman sebat kekal atau hapus?

Setelah hukuman mati dimansuhkan kini ada mempersoalkan bagaimana pula dengan hukuman sebat. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persetujuan Jemaah Menteri memansuhkan hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori menimbulkan persoalan sama ada pelaksanaan hukuman sebat kekal atau akan diganti dengan hukuman lain.

Dalam persidangan Dewan Negara kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, kerajaan bersetuju melakukan perubahan sistem keadilan dengan meluluskan beberapa dasar baharu termasuk pemansuhan hukuman mati.

Bagaimanapun, ia tidak menyentuh soal hukuman sebat ketika kerajaan terdahulu telah bersetuju mengkaji hukuman alternatif bagi mengganti hukuman itu yang dilihat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Justeru, kerajaan dicadang tampil menjelaskan status hukuman sebat selain jika bersedia membentang Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan di Dewan Rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, hukuman sebat di mahkamah sivil memerlukan kajian lanjut dan wajar diganti dengan hukuman lain yang se­timpal dengan kesalahan dilakukan.

Menurut beliau, hukuman sebat juga boleh diminimumkan sehingga tidak menyebabkan kecederaan teruk kepada pesalah, andainya kerajaan tidak merancang menggantikan hukuman itu dengan alternatif lain.

HUKUMAN

“Ada juga pandangan hukuman ini patut dikekalkan bagi memberi pengajaran kepada seseorang. Mereka bukan sahaja dipenjara, malah disebat dengan jumlah sebatan yang dimuktamadkan. Pandangan lain pula tidak patut kekalkan kerana menyebabkan kece­deraan kepada si pesalah,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Pada Ogos 2022, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji hukuman alternatif bagi mengganti hukuman sebat.

Untuk rekod, pada 6 Oktober lalu, beliau membentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat tujuh rang undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati.

Kajian hukuman alternatif bagi sebatan pula belum diputuskan sehingga Parlimen penggal ke-14 dibubar pada bulan sama.

SESUAI

Wan Junaidi berkata, hukuman alternatif yang sesuai bagi menggantikan hukuman sebatan ialah mengikut kaedah undang-undang Islam.

“Lagipun soal sebatan ini diwarisi daripada pihak kolonial dulu. Kenapa mesti kekal perkara ini? Kenapa orang di Malaysia kena sebat, kenapa di England tidak disebat?” katanya seperti dilaporkan.

Peguam-peguam dan kumpulan hak asasi manusia sebelum ini telah menggesa kerajaan memansuhkan sebatan yang dianggap penyeksaan mengikut standard hak asasi manusia antarabangsa.

Sementara itu, Wan Junaidi ketika dihubungi berkata, beliau juga tidak bersetuju jika kerajaan mengekalkan hukuman sebat kerana hukuman itu disifatkan sebagai kejam.

“Ketika saya menteri, saya hanya sempat membacakannya kali pertama sebelum ini Parlimen dibubar. Kalau mahu hapuskan hukuman ini, maka ba­nyak lagi rang undang-undang perlu dipinda. Rang undang-undang perlu dibentang semula, jika kerajaan mahu buat perubahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×