SHEIKH Muhammad Abduh adalah tokoh yang memberi sesi pandangan keluasan nas al-Quran sesuai dengan peredaran zaman. Beliau dilahirkan pada 1849 di daerah Buhairah, Mesir. Ketika usianya 15 tahun, Sheikh Abduh mengikuti pengajian di Tanta.
Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar pada 1865. Beliau mengikuti pengajian seperti fiqh, hadis, tafsir, bahasa Arab, nahu, balaghah dan juga ilmu syariah sehingga beroleh sijil tinggi pada 1877.
Semasa di al-Azhar, beliau terkesan dengan keilmuan dan kaedah penyampaian beberapa tokoh. Antaranya ialah Sheikh Darwisy Khudhar yang selalu memberi nasihat, menunjukkan cara yang betul dan selalu memberi galakan mendalami pelbagai ilmu.
Begitu juga dengan Sheikh Hasan Tawil yang pakar dalam pelbagai disiplin seperti ilmu hisab dan falsafah.
Beliau juga terkesan dengan ketokohan Sayyid Jamaluddin al-Husaini al-Afghani yang mana timbul hubungan akrab antara kedua-duanya berasaskan reformasi dalam berdakwah.
Pada mulanya Sheikh Abduh menyampaikan dakwah di beberapa tempat termasuk di Universiti al-Azhar. Di al-Azhar, beliau mengajar mantik, falsafah dan tauhid.
Sementara di Dar al-Ulum beliau mengajar kitab Muqadimah Ibn Khaldun. Selain itu beliau menghasilkan beberapa artikel yang diterbitkan akhbar harian seperti al-Ahram.
Beliau berpendapat, krisis kemunduran umat Islam perlu diatasi dengan gerakan pembaharuan melalui pendidikan yang berkesan dalam kalangan anak bangsa. Pada 1882 berlaku tunjuk perasaan rakyat terhadap kerajaan Mesir dan beliau adalah salah seorang yang ditangkap. Ekoran itu, beliau dihukum buang negeri selama tiga tahun.
Dalam tempoh hukuman itu, Sheikh Abduh pergi ke Beirut, Lubnan dan tinggal setahun di sana. Kemudian berpindah ke Paris untuk bersama dengan gurunya, Sheikh Jamaluddin Afghani.
Di situ, beliau dan gurunya menerbitkan majalah al-Urwah al-Wuthqa. Namun, umur majalah ini singkat kerana kandungannya mengangkat isu penjajahan dan gerakan pembebasan dalam semua sudut.
Selepas enam tahun dalam buangan, Sheikh Abduh kembali ke Mesir.
Pada 1899, keluar arahan pemerintah Mesir yang ditandatangani oleh Raja melantik Sheikh Muhammad Abduh sebagai Mufti Negara Mesir. Beliau adalah mufti pertama yang dilantik kerana sebelumnya urusan kefatwaan adalah di bawah urusan Sheikh Azhar.
Dalam isu wanita, Sheikh Abduh membawa pencerahan yang mencerminkan keluasan nas al-Quran berbanding segelintir pandangan yang masih melihat wanita di tahap yang rendah.
Perkara ini amat jelas dalam beberapa penulisannya yang cuba memberi hak wanita bersesuaian dengan realiti arus kemodenan yang berlaku pada zamannya.
Islam menerima perubahan dan perkembangan, bahkan perkembangan adalah satu kemestian dan keperluan dalam kehidupan ini. Islam adalah agama universal, sesuai untuk semua bangsa, keturunan dan generasi.
Kefahaman terhadap nas al-Quran dalam isu wanita ini bukan bermakna Islam membolehkan semua kemajuan tanpa had dan sempadan. Ulama moden sepatutnya menggalas tanggungjawab menghuraikan kemajuan dalam acuan syarak.
Justeru, perlu melihat kepada Islam dalam bab tuntutan semasa ini dengan berusaha memberi kefahaman nas dalam bentuk baharu.
Namun semua bacaan nas agama terhadap perubahan semasa yang berlaku mengikut maslahat ummah tidak keluar daripada ketetapan yang diputuskan.

TAFSIR AL-MANAR
Pada muka depan Tafsir al-Manar ditulis: “Satu-satunya tafsir yang menghimpunkan antara maklumat ma’thur yang sahih dan keterangan yang logik yang menerangkan hukum syarak”. Penentuan yang Allah berikan kepada manusia, al-Quran sebagai hidayah kepada manusia di setiap zaman dan tempat, pertimbangan antara hidayah dan realiti muslim pada zaman ini yang meninggalkan al-Quran, golongan terdahulu yang berpegang dengan tali al-Quran, meraikan gaya bahasa mudah dalam huraian dan tidak mencampurkan perbahasan dengan istilah disiplin yang pelbagai”.
Katanya, Allah SWT menurunkan al-Quran yang menjadi panduan, cahaya untuk mengajar kamu kitab, hikmah, membersih dan menyediakan kamu kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sejarah Tafsir al-Manar sebenarnya perlu dirujuk kepada murid Sheikh Abduh iaitu Sheikh Rasyid Redha. Beliau berkata, pada pagi aku sampai di Kaherah aku menghubungi Sheikh melalui telefon dan menyampaikan kepadanya cadangan agar menulis tafsir al-Quran.
Sheikh Abduh menjawab: “Sesungguhnya al-Quran tidak perlu ditafsir secara sempurna dalam semua aspek. Kitab tafsir yang sudah sedia ada terlalu banyak di mana sebahagian tafsir melengkapi tafsir yang lain. Tetapi perkara utama yang amat diperlukan ialah tafsir sebahagian ayat. Usia pun sudah tidak cukup untuk mentafsir seluruh al-Quran”.
Sheikh Rashid Redha memberi cadangan lain pula dengan mengajar ilmu tafsir. Pada Jumaat, 13 Ramadan tahun tersebut, beliau menziarahi Sheikh Abduh. Beliau telah membaca buku yang memberi gambaran buruk terhadap Islam.
Sheikh Abduh menolak dakwaan tersebut dengan menyatakan: “Sesungguhnya penjajah membuat panahan dan tikaman kepada Islam dengan mengambil daripada keadaan umat Islam yang buruk. Dan mereka jahil hakikat Islam. Sesungguhnya al-Quran dan Islam itu bersih tetapi dikotori oleh umat Islam dengan meninggalkan ajaran Islam lantaran mereka mementingkan perkara yang remeh temeh”.
Apabila dicadangkan beliau menulis tafsir mengikut kaedah yang dihuraikan dan tidak membicarakan apa yang telah dihurai dalam kitab tafsir, kata Sheikh Abduh: “Sesungguhnya kitab tidak memberi faedah kepada hati yang buta. Kedai buku milik Sayid Umar al-Khasyab penuh dengan kitab dalam semua ilmu tetapi satu pun dia tidak tahu. Kitab tidak memberi manfaat kecuali kepada orang yang mempunyai hati yang terbuka, jaga dan tahu betapa perlunya kepada kitab.
“Sesungguhnya kalam yang didengari lebih terkesan daripada kalam yang didengar kerana melihat kepada yang bercakap, gerak tubuhnya, isyarat yang ditunjuk menolong untuk memahami ucapannya”.
Justeru Tafsir al-Manar adalah syarahan tafsir oleh Sheikh Abduh dan disalin oleh Sheikh Rasyid Redha.
Beliau menafsirkan dari surah al-Fatihah sehingga ayat 125 surah al-Nisa. Semasa akhir hayatnya, beliau meletak jawatan sebagai mufti kerana tekanan yang kuat oleh pemerintah. Beliau meninggal dunia pada Julai 1905 di Iskandariah, Mesir.
- PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.









