PETALING JAYA: Malaysia menyasarkan peningkatan jalinan kerjasama dua hala dengan Arab Saudi melalui lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu bermula semalam hingga Jumaat ini.
Ini setelah Arab Saudi muncul rakan dagang Malaysia terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat apabila jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi mencecah RM45.52 bilion tahun lalu, berbanding RM17.56 bilion pada 2021.
Justeru, beberapa memorandum persefahaman dijangka ditandatangani melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak swasta kedua-dua negara.
Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Sheikh Dr. Mohammad Abdulkarim Al-Issa.
Anwar juga akan mengadakan lawatan ke Bank Pembangunan Islam dan menyampaikan ucaptama semasa lawatan tersebut.
“Ini memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meningkatkan jalinan kerjasama dua hala, bertunjangkan kepentingan bersama dalam pelbagai bidang,” kata Wisma Putra dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, lawatan rasmi tersebut merapatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Pastinya banyak peluang dan ruang baru dan lama boleh diterokai dalam membantu meningkatkan ekonomi terutamanya untuk Malaysia,” kata beliau. – UTUSAN











