TAMPIN: Dua ekor harimau kumbang ditangkap dalam tempoh dua hari berturut-turut oleh Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, kedua-dua haiwan liar itu memasuki perangkap yang dipasang di dua lokasi di negeri ini selepas pihaknya mendapat aduan dari pihak penduduk.
Beliau berkata, pihaknya menerima dua aduan membabitkan haiwan ternakan dibaham haiwan buas iaitu di Kampung Mungkal Seberang, Kuala Pilah pada 17 Mac lalu dan di Kampung Sri Repah, Tampin pada 19 Mac lepas.
“Pada 18 Mac, satu unit perangkap harimau dipasang di lokasi aduan dengan menggunakan umpan berupa kambing hidup. Pada 20 Mac lebih kurang pukul 7.40 malam, Pejabat Perhilitan Daerah Bandar Seri Jempo menerima panggilan dari pengadu yang memberitahu bahawa jerat itu memerangkap seekor harimau kumbang,” katanya.
Menurut Nurul Ermi, harimau kumbang dewasa betina seberat 32 kilogram itu didapati tidak mempunyai sebarang kecederaan dan dilepaskan ke habitat semulajadi.
Sementara Nurul Ermi berkata, di Kampung Sri Repah, Tampin pula, anggotanya memasang seunit perangkap dan satu unit kamera bagi mengesan kehadiran harimau di lokasi aduan.
“Kira-kira pukul 7.10 pagi (kelmarin), Pejabat Perhilitan Daerah Gemas menerima panggilan daripada pengadu yang menyatakan seekor harimau kumbang memasuki perangkap yang dipasang.
“Harimau kumbang tersebut dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Bandar Seri Jempol bagi pemeriksaan oleh doktor veterinar Jabatan Perhilitan. Harimau kumbang dewasa betina seberat 30.5 kilogram didapati tiada sebarang kecederaan dan dilepaskan semula ke habitat semulajadi,” katanya. – UTUSAN











