PM kita konsisten berdepan isu Laut China Selatan

PM kita konsisten berdepan isu Laut China Selatan

PEMIMPIN kita berpegang kepada prinsip diplomasi dan penggunaan kod tatacara dalam menjamin kestabilan di Laut China Selatan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN ramai tertanya tanya, mengapakah setiap perdana menteri mengambil pendekatan berlembut apabila nelayan asing atau lebih berat lagi kapal tentera asing menceroboh kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara yang dianggap tercetus dengan begitu kerap sekali?

Tidak dinafikan juga begitu lazim nelayan dari China yang dibayangi oleh kapal pengawal pantai Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China sering berada berdekatan dengan Beting Patinggi Ali dan Beting Serupai yang merupakan kawasan tradisi menangkap ikan nelayan Sarawak buat sekian lama. Kedua-dua beting itu seolah-olah sudah menjadi tempat larangan bagi nelayan tempatan oleh kerana tekanan kapal pengawal pantai PLA.

Begitu juga peristiwa kapal cari gali minyak yang di sewa khas oleh Petronas West Capella pada awal 2020 dibayangi oleh kapal peronda pantai PLA ketika menjalankan penyelidikan cari gali minyak dalam kawasan EEZ negara. Presiden Amerika Syarikat (AS) pada ketika itu, Donald Trump menghantar dua kapal perang kononnya untuk melindungi kepentingan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peristiwa West Capella ini juga membangkitkan perbalahan di khalayak umum di antara Menteri Luar ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ekoran sikap berlembut Wisma Putra terhadap Beijing.

Ramai menyarankan supaya Kuala Lumpur mengambil pendekatan tegas seperti diamalkan oleh Jakarta, Manila dan Hanoi terutama bila berdepan dengan kerenah China. Indonesia umpamanya, langsung tidak mahu berkompromi dalam hal kedaulatan maritim mereka terutama sekali berkait dengan perairan Natuna. Tindakan tanpa kompromi ini termasuklah mengebom kapal nelayan asing setelah dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia demi memamerkan pemerintah republik itu tidak berkompromi hal kedaulatan.

ICJ

Ada juga menyarankan Kuala Lumpur tidak memberi pengiktirafan nama Laut China Selatan yang mempunyai ungkapan ‘China’ yang sering digunakan Beijing sebagai dalil sebahagian besar perairan itu adalah milik mereka. Walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague pada 2016 memutuskan tuntutan China itu tiada asas tetapi Beijing bagaikan tidak mengendahkan keputusan tersebut.
Jakarta umpamanya, menggunakan ungkapan Natuna menggantikan Laut China Selatan sebegitu juga Manila dengan ungkapan East Philippines Sea dan Vietnam dengan namanya yang tersendiri.

Tetapi hakikatnya adalah dasar dan strategi Malaysia berdepan dengan tuntutan China terhadap Laut China Selatan tidak pernah berubah dan konsisten bermula ketika mula isu ini timbul pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan sehingga terkini, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Umpamanya, walaupun Kuala Lumpur tetap menggunakan ungkapan Laut China Selatan, tetapi beberapa tempat seperti Beting Patinggi Ali adalah unik untuk kita kerana di arena antarabangsa ia dikenali sebagai Beting Luconia. Seperti mana Swallow Reef di Kepulauan Spratly yang kita kenali sebagai Pulau Layang Layang.

Paling kritikal, strategi tersirat Kuala Lumpur ini tetap mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara termasuk ekonomi dan geopolitik. Betapa efektifnya strategi ini adalah bermula dari era Abdullah hingga Anwar, ia dilaksana secara konsisten oleh Wisma Putra. Serupa jua setiap perdana menteri bermula dari Najib sehingga Anwar berpegang kepada prinsip diplomasi dan penggunaan Kod Tatacara Laut China Selatan (SCS Code of Conduct) sebagai wadah utama kestabilan Laut China Selatan. – UTUSAN

PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Nusantara (NASR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×