KUALA TERENGGANU: Pasar-pasar utama di daerah ini menjadi pilihan orang ramai untuk mendapatkan keperluan menjelang ketibaan Ramadan.
Tinjauan di Pasar Chabang Tiga, di sini semalam mendapati, daging lembu, ayam, ikan dan sayur-sayuran antara barang keperluan asas yang menjadi pilihan pengguna.
Seorang peniaga, Mohd. Irfan Omar, 43, berkata, kehadiran pelanggan di kedai daging lembunya meningkat lebih 40 peratus sejak kelmarin berbanding hari biasa.
Katanya, situasi itu adalah normal kerana orang ramai suka menyediakan juadah berasaskan daging lembu pada bulan puasa dan menjelang sambutan Hari raya Aidilfitri.
“Tambahan harga daging lembu tempatan kekal stabil RM36 sekilogram (kg) berbanding daging import serta barang mentah lain seperti ayam dan ikan yang ada turun naik,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, tinjauan turut mendapati berlaku pengurangan harga sayur-sayuran berpunca lambakan bekalan di pasaran sekali gus memaksa peniaga menurunkan harga.
Seorang suri rumah, Ainaa Adia Jailani, 36, berkata, antara sayur-sayuran yang turun harga adalah sawi daripada RM9/kg kepada RM5/kg dan kacang panjang (RM20/kg ke RM12/kg).
“Walaupun banyak pilihan membeli seperti di pasar raya dan di kedai runcit, pasar basah menjadi pilihan saya kerana barang keperluan asas itu segar dan semakin banyak yang murah.
“Harga hasil laut juga dilihat masih stabil dan rendah sejak bulan lalu seperti ikan kembong (RM14/kg), selayang (RM10/kg), sotong (RM35/kg), udang (RM38/kg) serta banyak lagi,” tambahnya.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Che Ku Nordin Che Ku Omar, 60, pula berkata, dia lebih gemar membeli barang keperluan di pasar lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
“Sudah menjadi kelaziman saya akan ‘membeli-belah’ barangan keperluan di sini terutama sebagai persiapan dan persediaan bulan puasa kerana barang yang segar dan murah.
“Ramai beranggapan harga di pasar lebih mahal namun saya dapati ianya tidak banyak berbeza malah lebih murah berbanding tempat lain dan saya harap ia berkekalan,” katanya. – UTUSAN











