Khazanah catat keuntungan operasi RM1.6 bilion

Khazanah catat keuntungan operasi RM1.6 bilion

AMIRUL FEISAL WAN ZAHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) menca­tatkan keuntungan operasi lebih tinggi berjumlah RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM670 juta pada 2021, walaupun berdepan pasaran global yang mencabar.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, keuntungan itu disumbangkan aktiviti pengewangan dan rosot nilai yang lebih rendah dalam portfolio.

“Terdapat kebimbangan berterusan mengenai inflasi dan keadaan pengetatan monetari akan membawa kepada kemelesetan global, diburukkan lagi dengan risiko geopolitik berte­rusan.

“Bagaimanapun, pendekatan pelaburan Khazanah yang berdisiplin, dipandu oleh Peruntukan Aset Strategik (SAA) jangka panjang dan pengurusan portfolio aktif membantu kami mengharungi ketidaktentuan dalam pasaran, di sam­ping pengekalan disiplin dalam usaha penciptaan nilai dan pengewangan kami,” katanya dalam taklimat prestasi Khazanah 2022, semalam.

Khazanah turut mengisytiharkan dividen bernilai RM500 juta kepada kerajaan, sekali gus menjadikan dividen terkumpul yang diisytiharkan sejak 2004 kepada RM17.1 bilion.

Menurut beliau, dividen bagi tahun kewangan 2022 adalah lebih rendah berbanding RM2 bilion yang diisytiharkan pada tahun sebelumnya berikutan keadaan pandemik yang sema­kin pulih.

“Pada tahun kewangan 2020 dan 2021, kami mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi kepada bagi membantu kerajaan menghadapi situasi penularan wabak,” ujarnya.

Hutang Khazanah meningkat sedikit kepada RM49.1 bilion berbanding RM48.5 bilion pada tahun sebelumnya, manakala Nilai Aset Boleh Realisasi (RAV) berbanding nisbah hutang kekal sihat pada 2.7 kali ganda, di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jangka panjang iaitu antara 3.0 dan 4.0 kali.

Nilai Aset Bersih (NAB) me­nyaksikan penurunan 5.0 peratus kepada RM81 bilion pada 2022 daripada RM86 bilion pada 2021, disebabkan oleh aliran menurun pasaran global.

Beliau memaklumkan, Kha­zanah telah menggunakan RM6.6 bilion untuk pelaburan baharu dan memperoleh RM2.5 bilion daripada pengewangan aset.

“Bagi Dana Impak pula, projek bernilai RM500 juta telah dikenal pasti merentasi pelbagai bidang impak, yang bertujuan untuk membina daya tahan negara dan peluang pertumbuhan baharu.

“Bidang utama termasuk agrimakanan dan peningkatan kemahiran digital modal insan serta komitmen dalam menyokong usahawan dan ekosistem modal teroka (VC),” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kesan kepada Khazanah berikutan keruntuhan Silicon Valley Bank (SVB) dan Credit Suisse, beliau menjelaskan pihaknya tiada sebarang pendedahan secara langsung dengan bank tersebut sama ada dari segi pegangan saham, bon, deposit dan pinjaman.

“Namun pendedahan secara tidak langsung termasuk implikasi terhadap pasaran umum seperti SNP500 dan pasaran global lain akan terus dipantau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×