Diana mohon cerai, Farid tak dapat masuk rumah

Diana mohon cerai, Farid tak dapat masuk rumah

Diana Danielle dan Farid Kamil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon, Farid Kamil mendakwa tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya, Diana Danielle sejak awal bulan ini.

Dalam tempoh sama, difahamkan pelakon utama filem Anwar, The Untold Story itu tidak dapat bertemu dengan anak-anaknya.

Perkara tersebut dimaklumkannya pada prosiding permohonan cerai yang difailkan oleh Diana di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, dekat sini, semalam.

Permohonan cerai tersebut difailkan Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Alasan yang diberikan oleh pelakon utama filem Imaginur itu dalam permohonannya adalah tiada persefahaman, telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.

Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana ketika ditemui mengesahkan Farid atau nama penuhnya, Farid Kamil Zahari tidak dapat memasuki kediaman itu sejak awal bulan ini namun tidak mendedahkan sebarang alasan kenapa pelakon itu dihalang.

Beliau turut memberitahu, pada prosiding di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof, pihak-pihak diarahkan untuk melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan cerai.

Melalui jawatan kuasa pendamai, wakil yang dilantik akan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan itu dikemukakan kepada mahkamah.

Sekiranya JKP tidak dapat menemukan jalan penyelesaian atau mendapati bahawa telah berlaku shiqaq, maka Mahkamah Syariah melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan terlibat.

Difahamkan, Diana telah melantik rakan baiknya sebagai wakil manakala Farid belum melantik wakil bagi pihak dirinya.

Hakim Shukran menetapkan 28 Mac ini untuk membolehkan Farid memaklumkan mahkamah wakil bagi pihaknya dalam JKP tersebut.

Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid mengesahkan mengenai tarikh tersebut dan permohonan cerai terbabit.

Peguam itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai alasan perceraian pasangan itu. Selepas tamat prosiding, pasangan terbabit dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah secara berasingan.

Beberapa bulan lalu, ketika mengulas mengenai perceraian rakan baiknya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, Diana menyatakan beliau memahami keadaan perasaan rakannya itu.

Beliau dalam laporan sama turut menyatakan bahawa tiada wanita yang ingin bercerai tanpa sebab.

“Dalam kehidupan, kita tidak boleh menjangka pengakhiran yang berlaku dalam apa jua keadaan,” ujarnya dalam laporan tersebut.

Farid dan Diana sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz pada 3 November 2012 di suatu majlis yang diadakan di Hotel Flamingo by the Lake dengan mas kahwin RM10,000.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×