PETALING JAYA: Jumlah Volum Industri (TIV) kenderaan bagi Februari 2023 meningkat 39 peratus kepada 62,649 unit berbanding 45,062 unit yang direkodkan pada bulan sama tahun lalu.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, jualan kenderaan penumpang bertambah kepada 55,555 unit pada bulan dikaji berbanding 40,119 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, jualan kenderaan komersial pula meningkat kepada 7,094 unit pada Februari 2023 berbanding 4,943 unit pada Februari 2022.
Mengenai jumlah pengeluaran, MAA berkata, sebanyak 63,798 unit telah dikeluarkan pada Februari 2023, berbanding 51,291 unit setahun sebelum.
Daripada jumlah itu, sebanyak 59,843 unit adalah kenderaan penumpang yang dikeluarkan pada Februari 2023 berbanding 47,445 unit pada Februari tahun lalu manakala sebanyak 3,955 unit kenderaan komersial dikeluarkan pada bulan dikaji berbanding 3,846 unit tahun lalu.
Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 112,128 kenderaan dikeluarkan berbanding 86,595 unit dalam tempoh sama 2022.
Menurut MAA, jualan pada Mac 2023 dijangka lebih tinggi daripada Februari berikutan syarikat automotif tergesa-gesa melakukan penghantaran bagi syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Mac 2023.
“Selain itu, jualan akan lebih tinggi dengan kempen promosi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri selain memenuhi tempahan yang dibuat semasa tempoh pengecualian jualan,” ujarnya. – UTUSAN










