Sunway REIT beli hartanah KWSP bernilai RM520 juta

Sunway REIT beli hartanah KWSP bernilai RM520 juta

Pembelian hartanah itu bakal mengukuhkan kedudukan semasa Sunway REIT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway REIT Management Sdn. Bhd. me­ngumumkan hartanah yang akan diperolehnya untuk Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM520 juta secara keseluruhan.

Pada Khamis, RHB Trustees Berhad, sebagai pemegang amanah Sunway REIT, memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Kwasa Properties Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh KWSP, dengan jumlah bayaran tunai RM520 juta.

Hartanah yang akan diambil alih oleh Sunway REIT ialah enam pasar raya besar atau kompleks runcit yang terletak di lokasi strategik di Lembah Klang dan Johor.

Hartanah Lembah Klang berada di Kinrara, Putra Heights, USJ, Klang dan Ulu Klang, manakala hartanah di Johor terletak di Plentong.

Menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia, nilai pasaran enam hartanah berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh Knight Frank Malaysia Sdn. Bhd. ialah RM593 juta secara keseluruhan.

Ini bermakna Sunway REIT membeli hartanah pada diskaun 12.3 peratus daripada nilai pasaran.

Cadangan pengambilalihan itu juga akan mengukuhkan lagi kedudukan semasa Sunway REIT sebagai REIT Malaysia tersenarai kedua terbesar berdasarkan nilai hartanah pada 31 Dis 2022.

Dengan mengandaikan cadangan pengambilalihan itu selesai pada 31 Disember 2022, saiz portfolio hartanah Sunway REIT akan meningkat daripada kira-kira RM9.1 bilion kepada kira-kira RM9.69 bilion.

Ketua Pegawai Operasi Sunway REIT Management, Datuk Jeffrey Ng. berkata, cadangan pengambilalihan itu adalah selaras dengan objektif pelaburan utama pengurus untuk meneruskan strategi pemerolehan secara berterusan untuk memperoleh dan melabur dalam hartanah yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang dalam pengagihan se­unit (DPU) Sunway REIT dan/atau aset bersih nilai seunit.

“Cadangan pengambilalihan itu membolehkan REIT memperoleh enam pasar raya besar atau kompleks runcit yang terletak di lokasi strategik di Lembah Klang dan Johor di bawah nilai pasaran masing-masing.

“Kami gembira untuk terus membuat kemajuan dalam mengembangkan portfolio aset Sunway REIT dan meluaskan jejak geografinya ke Johor.

“Cadangan pengambilalihan ini menguatkan usaha kami ke arah mencapai sasaran nilai hartanah TRANSCEND 2027 seba­nyak RM14 hingga 15 bilion menjelang 2027 dan rancangan kami untuk menjadi proksi hartanah untuk Malaysia.

Melangkah ke hadapan, kami akan te­rus melihat peluang pelaburan di seluruh Malaysia.

“Hartanah itu menjana pendapatan, dan mempunyai pengaturan pajakan tiga kali ganda di bawah perjanjian pajakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×