KOTA BHARU: Harga sayur-sayuran di negeri ini masih lagi mengalami kenaikan dan situasi itu memberi kesan kepada pengguna termasuklah peniaga kedai makan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati harga beberapa jenis sayur-sayuran masih mengalami kenaikan namun tidak ketara.
Seorang peniaga sayur di Pasar Ketereh Norhayati Md. Nor, 53, berkata, tomato, kubis bunga dan lada merah masih mengalami kenaikan antara RM2 hingga RM4 untuk setiap sekilogram.
“Tomato hari ini dijual RM8 sekilogram berbanding RM4 sebelumnya. Selain itu, kubis bunga sebelum ini dijual pada RM6 naik kepada RM8.
“Lada merah turut mengalami kenaikan kepada RM18 sekilogram berbanding RM16 sebelum ini,” katanya.
Norhayati memberitahu, bagaimanapun beberapa jenis sayuran mengalami penurunan harga termasuklah timun yang kini dijual RM4 sekilogram berbanding RM8 sekilogram.
Katanya, sebelum ini sawi dijual pada RM12 dan telah turun kepada RM5 sekilogram.
“Setakat ini, kita tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bekalan sayur-sayuran dan ia mencukupi untuk keperluan pengguna,” ujarnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Masturah Zainal Abidin,52, berkata, kenaikan harga dan barangan basah amat memberi kesan kepada pengguna.
“Tidak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadan, pastinya ia akan memberi kesan sekiranya harga sayur-sayuran dan bahan basah masih lagi mengalami kenaikan harga.
“Oleh itu, saya amat berharap agar masalah ini dapat diatasi segera oleh kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat,” ujarnya.
Seorang peniaga kedai makan, Rosmawati Wahab,46, berkata, kenaikan harga sayur-sayuran dan bahan basah turut memberi kesan kepada mereka yang terlibat dalam sektor pembuatan makanan termasuklah peniaga kedai makan.-utusan










