Walaupun sunyi, Keith selesa sendiri - Utusan Malaysia

Walaupun sunyi, Keith selesa sendiri

KEITH FOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hidup menduda sejak berpisah dengan isterinya pada Disember 2019, Keith Foo nampaknya bagai tiada masalah untuk menjalani hari-harinya tanpa sosok seorang wanita bergelar isteri di sampingnya.

Menganggap apa yang berlaku sebagai satu suratan takdir, pelakon ini bagaimanapun sedar dia tidak dapat lari daripada pertanyaan lazim, seandainya dia mempunyai hasrat untuk mencari pengganti buat menemani hidup.

Tidak mudah melatah dengan pertanyaan itu, pelakon kelahiran Gemas, Negeri Sembilan ini malah menjawab dengan sopan sambil memberi bayangan bahawa perkara itu tidak mungkin akan berlaku dalam waktu terdekat ini.

“Bohonglah kalau saya kata diri tidak rasa sunyi. Tetapi kalau dibiarkan diri terus larut dalam perasaan itu, ia cuma akan menjadi punca kepada faktor kemurungan pula.

“Iyalah, kerana kita biarkan diri sendiri dipengaruhi dengan perasaan yang negatif. Sebab itulah kena ubah cara kita berfikir, termasuk juga gaya hidup supaya hidup jadi lebih positif.

“Bayangkanlah kalau saya murung sahaja sentiasa, anak pula macam mana? Jadi, sayalah yang kena ubah jadi manusia yang lebih baik,” katanya.

Meletakkan dirinya sebagai seorang lelaki dewasa yang rasional, Keith yang berusia 39 tahun, bersetuju bahawa hubungan baik yang masih dikekalkan bersama bekas pasangan suami isteri seharusnya menjadi tunggak sebuah institusi keluarga yang sihat.

Apalagi ia dilakukan demi kebahagiaan dan kesejahteraan anak.

“Hubungan saya dengan bekas isteri baik-baik sahaja.Kami pun selesa dengan keadaan sekarang dan bahagia dengan haluan masing-masing, jadi mengapa perlu ubah keadaan itu?

“Kami berpisah demi kebaikan. Kalaulah misalnya kami masih bersama dan bertahan, jika ia cuma mendatangkan keburukan, yang paling kasihan adalah anak-anak.

“Cukuplah dengan cara ini (perpisahan). Apa yang paling penting, anak-anak tidak rasa terpinggir dan kami sentiasa meletakkan mereka sebagai keutamaan,” katanya.

TIDAK TERDESAK

Menganggap dirinya selesa sendirian, Keith mengaku dia tidak terdesak mencari mana-mana wanita jika niatnya cuma untuk mengisi kekosongan hati.

Baginya semua itu tidak penting kerana kehadiran Skylar Raymond Foo, 3, sudah cukup menjadi pelengkap dan sumber kekuatan hidupnya.

“Dialah permata hati, dia jugalah puteri yang akan sentiasa berada dalam hati saya. Sebab itulah saya rasa tiada keperluan pun untuk saya mencari ‘wanita’ lain buat masa ini.

“Tak fikir langsung pun pasal nak menjalin hubungan atau mendekati sesiapa. Tetapi itu tidak bermaksud saya sudah menutup pintu hati. Jangan salah faham, cuma waktunya bukan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, percaya atau tidak, Keith juga menyatakan rasa tidak kisahnya jika bekas isteri kini sudah punya kekasih baharu.

Kata Keith, ibu kepada anaknya itu juga punya hak untuk menikmati hidup sebagaimana wanita lain dan sudah tentu dia juga berharap dan mendoakan bekas isterinya itu dapat meraih kebahagiaan dengan caranya tersendiri.

“Saya okey sahaja kalau dia sudah ada pasangan baharu. Sudah tentulah saya pun mahu dia gembira dan bahagia, positif sahaja,” katanya.

 

Kehadiran Skylar Raymond Foo, 3, sudah cukup menjadi pelengkap dan sumber kekuatan hidup Keith.

MAHU BANTU ORANG

Dalam perkembangan lain, Keith yang dilihat aktif menyalurkan khidmat dan kudratnya sebagai seorang sukarelawan persatuan St. John, menganggap ia juga adalah antara faktor yang banyak membantu dirinya untuk keluar daripada perasaan sunyi.

Kata pelakon ini, sejak menceburi St. John dua tahun lalu, ternyata dia benar-benar menikmati dan menjiwai lapangan itu walaupun cuma separuh masa.

Menyandang posisi pegawai, Keith tidak menyangkal, sejak diperkenalkan oleh sepupunya sebelum ini, dia kini seakan sudah ‘ketagih’ mahu membantu orang awam.

“Saya rasa puas bila dapat menolong orang dan bila sudah buat, terasa mahu bantu lagi dan lagi. Banyak aktiviti dan misi yang sudah disertai dan semuanya secara tidak langsung membuka mata dan menyedarkan saya.

“Bila kita rasa susah, ada lagi yang lebih susah di luar sana. Ia sekali gus membuatkan saya rasa amat bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang.

“Ada ketika, walaupun penat tetapi sudah seakan tidak terasa kerana diri lebih gembira apabila dapat membantu orang. Rasa puas. Kalau boleh saya nak selalu sertai misi bantuan jika tidak bercanggah waktu dengan jadual kerja,” katanya.

Dalam pada itu, Keith berkata, dia kini sedang dalam proses membuang tatu pada anggota badannya bagi memudahkan dia menjalani mana-mana penggambaran drama atau filem.

Usaha itu dibuat tanpa paksaan dan bagi Keith, niatnya cuma satu, mahu memudahkan urusan orang selain tampil lebih bersih.

“Sebagai pelakon, sukar untuk saya sentiasa menutup tatu pada badan setiap masa dan satu cara terbaik adalah membuangnya.

“Memang perit sikitlah nak buang sebab banyak. Saya perlu jalani beberapa sesi dan ia ambil masa yang lama juga untuk betul-betul dihilangkan. Sakit juga tahu!

“Tapi tak apalah, demi kerjaya, saya sanggup buat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×